Melaka ‘TIDAK IKTIRAF’ Sijil Peperiksaan Bersepadu [UEC] di sektor awam



AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka tidak pernah mengubah syarat-syarat pekeliling perkhidmatan awam sedia ada, bagi mengambil lepasan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) untuk menyertai perkhidmatan awam negeri.

EXCO di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal, Vokasional, Sains dan Inovasi), Datuk Noor Effandi Ahmad, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini hanya menggunakan khidmat seorang lepasan sijil UEC untuk menerajui sebuah agensi di negeri ini, namun ia tidak pernah diwartakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Kerajaan Melaka melalui bahagian Pusat Sumber Manusia tidak mengiktiraf sijil UEC memandangkan kerajaan tak pernah mengubah pekeliling sedia ada yang berkaitan dengan syarat kemasukan sebagai penjawat awam.

“Apa yang berlaku ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, Ketua Menteri ketika itu (Adly Zahari) memaklumkan bahawa kita membuka peluang untuk menerima mereka yang mempunyai sijil UEC berkhidmat di Melaka.

“Bagaimanapun, hal itu tidak pernah dibawa ke Mesyuarat MMKN, maknanya ia hanya diisytihar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Ogos 2018 tanpa sebarang tindakan susulan oleh pihak kerajaan negeri,” katanya.




Noor Effandi (BERSATU-Telok Mas) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Md Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14, di Seri Negeri, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan PH Melaka pimpinan Adly dilaporkan berkata, pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan di negeri ini sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri, seiring sebahagian manifesto pakatan itu pada PRU-14.

Mengulas lanjut, Noor Effandi berkata, sejak 2018 sehingga kini, hanya seorang lepasan UEC diterima berkhidmat sebagai penjawat awam negeri.

“Sejak tahun 2018 hingga hari ini, hanya seorang iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka, Lim Kwok Thuan yang mempunyai sijil UEC diterima berkhidmat sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada 1 April lalu,” katanya.



Leave a Reply

Your email address will not be published.