Jurutera Tinggalkan Gaji Lumayan Untuk Jadi Tauke Daging Burger

KUCHING (Bernama) — Dari jurutera, kini tauke daging burger! Begitulah jejak usaha serta kejayaan Mohammad Fuad Syamsul Hassan, 43, anak kelahiran Bumi Kenyalang ini.

Meskipun berpendapatan lumayan sekitar RM18 ribu sebulan sebagai jurutera Petronas, beliau sanggup meninggalkan jawatan tersebut untuk menggalas impian memiliki perniagaan sendiri.

Berbekalkan kesungguhan serta sokongan keluarga, perniagaan daging burger di bawah syarikatnya, USNA Homemade Burger, kini menjadi pembekal kepada kira-kira 300 gerai burger di seluruh Sarawak.



Segalanya bermula selepas kematian ayahnya, Hassan Hamdan pada 2007, yang mengakibatkan ibunya Usna@Zaleha Dawi, seorang pesara guru berasa agak kesunyian, lantas MoHammad Fuad mengesyorkan untuk mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah.

 


Bekas jurutera Mohammad Fuad Syamsul Hassan mengorbankan kerjaya bagi mengejar impiannya untuk memiliki perniagaan sendiri. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

 



Pengasas USNA Homemade Burger ini memberitahu Bernama, pada tahun itu juga beliau mencadangkan kepada ibunya untuk berniaga daging kisar kurang lemak kerana melihat kepada potensi yang besar ketika itu dan pesaing juga tidak begitu banyak di bandar raya Kuching.

“Jadi saya pun mula membeli mesin pengisar yang kecil dan mencuba beberapa resipi untuk membuat daging burger yang sihat serta kurang lemak dan ia mendapat pelbagai maklum balas daripada pelanggan antaranya daging burger kami terlampau kering. Bukan jadi daging burger tapi dah macam daging goreng.

“Saya berguru sehingga ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), cawangan Kuching, untuk mendapatkan sukatan yang betul mengenai pecahan daging dan lemak,’ katanya dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

 



PELBAGAI CABARAN

 


Pengasas USNA Homemade Burger berkata segalanya bermula selepas kematian bapanya pada 2007. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

 



Mohammad Fuad mengambil masa selama empat tahun sehingga berjaya menghasilkan resipi daging burger yang dipasarkan sekarang.

Sepanjang tempoh itu, beliau masih lagi bekerja sebagai jurutera dan hanya melakukan perniagaan itu secara separuh masa.

“Untuk permulaan, memang kami menghadapi pelbagai cabaran seperti kurang dikenali serta tidak banyak permintaan namun pada 2014, perniagaan yang pada mulanya hanya dilakukan di rumah, telah beralih ke sebuah kilang. Keluarga terdekat seperti abang dan adik saya turut sama terlibat dalam perniagaan ini.

 




Daging kisar kurang lemak keluaran USNA Homemade Burger melalui proses pembungkusan. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

“Akhirnya pada 2017,  saya nekad untuk meninggalkan kerjaya sebagai jurutera walaupun gaji pada waktu itu mencecah RM18,000 sebulan, demi memberikan sepenuh perhatian kepada perniagaan USNA Homemade Burger ini,” katanya.

Beliau berkata cabaran selepas membuka kilang sangat berbeza kerana beliau perlu mendapat sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) bagi mematuhi keperluan kebersihan dan keselamatan makanan.



“Saya dan ibu selalu berbincang mengenai kualiti makanan, jadi untuk mempromosikan produk makanan kami yang berkhasiat dan bermutu tinggi ini, ia memerlukan pengesahan dan sebab itu kami berusaha untuk mendapatkan sijil-sjil berkenaan,” katanya, sambil menambah kedua-dua sijil itu akhirnya berjaya diperolehi.

 

PERNIAGAAN SEMAKIN BERKEMBANG

 


Para pekerja USNA Homemade Burger sibuk menyiapkan produk daging burger demi memenuhi permintaan pasaran. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

Secara purata, USNA Homemade Burger menggunakan sebanyak 3,200 kilogram daging mentah sebulan dan mengeluarkan 8,000 paket daging burger bagi memenuhi permintaan pelanggan tetapnya.

Sehingga kini, perniagaan ini mempunyai lima orang pekerja,  tidak termasuk ahli keluarga Mohammad Fuad dan ejen yang berdaftar di seluruh Sarawak.

USNA Homemade Burger mempunyai pelbagai variasi produk iaitu daging lembu burger premium 60 gram (10 keping), 80g (8 keping), 100g (5 keping) dan 120g (5 keping) yang masing-masing dijual dengan harga, RM18.30, RM19.50, RM15.50 dan RM18.50.

Di samping itu, terdapat juga daging kambing burger 70g (4 keping) berharga RM18.50; daging ayam burger 60g (10 keping) berharga RM13.00 dan 80g (8 keping) berharga RM14.00 serta kebab meatball 600g yang berharga RM21.50.

Menurut Mohammad Fuad, mereka yang berminat untuk mendapatkan produk berkenaan, boleh layari laman Facebook dengan carian USNA Homemade Burger.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

Jurutera pula mungkin hilang kerja

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker