Undi tak percaya PM: Perak boleh, kenapa kita tak boleh? soal Ahli Parlimen pembangkang
KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen pembangkang kesal apabila usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih tidak dibentangkan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, membandingkan dengan apa berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini, yang menerima usul percaya terhadap menteri besar.
“Satu usul telah dibawa di Perak. Usul itu telah disegerakan dan dibahaskan dan diputuskan. Di Dewan ini saya percaya ada 16 usul undi tidak percaya pada Ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin). Beberapa dari Pejuang, Amanah dan termasuk Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah).
“Persoalan bermain di minda saya dan rakyat, DUN Perak bahas usul itu dan beri keutamaan (usul terhadap menteri besar Perak). Kenapa tidak boleh kita bahaskan usul (undi tak percaya pada Muhyiddin) untuk undi,” katanya di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) memohon usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin dipercepatkan.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata, beliau tidak mengetahui bawah peraturan mana yang digunakan oleh Speaker DUN Perak untuk menaikkan usul undi tidak percaya kepada menteri besar ke nombor satu.
Keputusan usul undi percaya pada MB Perak, Penantian Yang Mendebarkan
Azhar berkata, beliau tidak terikat dengan tindakan speaker di negeri lain.
“Saya kurang pasti peraturan mesyuarat digunakan di tiap-tiap negeri dalam Dewan negeri masing-masing. Keputusan saya selama ini yang tidak naikkan motif usul dicadangkan itu di Dewan Rakyat ini, saya bukan buat sesuka hati.
“Saya telah buat kajian amat mendalam. Saya sedia tunjuk kajian panjang lebar saya pada semua,” katanya.
Beliau tidak pasti sama ada Tengku Razaleigh ada menghantar usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
“Seingat saya tidak ada,” katanya.
Pada 4 Disember lalu, kerajaan pimpinan Ahmad Faizal Azumu di Perak tumbang apabila gagal memperoleh sokongan majoriti wakil rakyat di DUN, selepas usul percaya terhadapnya diundi secara belah bahagi.
Dalam undian dipengerusikan Speaker DUN Perak Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Faizal, berbanding 48 membantah dan satu undi rosak.
Usul undi percaya terhadapnya dibawa ADUN Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim, dari UMNO.
You must be logged in to post a comment.