Setahun UMNOSISWA, Wadah Perjuangan Anak Muda



Sebaran :

Kelahiran UMNOSISWA pada 6 Disember 2019 adalah merupakan satu sejarah yang tercipta di Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Farhan Khairuddin, menjadi bukti bahawa anak muda masih lagi bersama UMNO dan tidak lagi gentar untuk menjulang nama UMNO sebagai wadah perjuangan mereka.

“Mengapa UMNOSISWA tertubuh? ianya datang dari jiwa untuk mengubah UMNO kembali kepada yang asal. UMNO yang lahir dari anak-anak muda yang berwawasan, beridealisme nasionalis dan berkepimpinan.

“Ya, ia bermula daripada kesilapan pimpinan yang telah lama meninggalkan bentuk pengkaderan begini, mahasiswa yang dahagakan ruang menyumbang dan berjuang akan kehilangan ‘wisdom’ dan idealisme mereka akan mati hanya kerana kompleksnya budaya pemain politik UMNO. Lebih parah lagi mereka mula berpaut pada parti-parti lain meski ideologi mereka masih kuat sebagai seorang nasionalis.



“Maka, ini perlu diperbetulkan. Satu ekosistem pengkaderan yang lebih dekat dengan roh dan dasar parti perlu segera dibina serta birokrasi yang menjauhkan mahasiswa kepada parti perlu dibuang dan diceraikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ulasnya lagi, ia menjadi harapan dan niatnya bersama rakan-rakan mantan aktivis pelajar untuk difikirkan.

“Maka, ia dibina dengan kekuatan dan permintaan mahasiswa sendiri.

“Hampir setahun, bermula perlantikan saya sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia oleh Ketua Pemuda Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, akhirnya setelah menjelajah semua kampus bermula Ogos 2018 akhirnya pada tanggal 6 Disember 2019, UMNOSISWA dilancarkan secara rasmi.



“Mereka dilatih, diberikan pendedahan apakah sebenarnya UMNO? Struktur dan sistem parti sehinggalah mendalami dasar perjuangan parti termasuk mempertahankan perlembagaan persekutuan, raja-raja melayu dan keadilan sosial rakyat,” ujarnya.

Jelasnya lagi, UMNO yang muda mesti membawa wajah pembudayaan baharu dan segar dan dibuktikan sehingga budaya kempen berhujah ‘speaker corner’ kini menjadi budaya baharu UMNO di setiap siri pilihan raya.

Tambahnya juga, kini, seramai 17 orang daripada kalangan ahli UMNOSISWA telah diserap secara langsung menjadi sebahagian kepimpinan di bahagian, cawangan mahupun pusat.

“Ada yang telah dilantik menjadi ketua penerangan, ahli jawatankuasa bahagian, ketua pemuda cawangan sehinggalah setiausaha kerja.



“Ini satu kejayaan. Dalam keadaan parti tertua ini dituduh, digambarkan sebagai parti yang tertutup, tua dan kompleks, kini ia menjadi bukti UMNO telah dan sedang diremajakan,” katanya.

Seterusnya lagi, Farhan berkata sebelum UMNOSISWA berjaya ditubuhkan, beliau telah meggerakkan kempen #UMNOrejuvenationproject bagi membina kepercayaan parti dan akar umbi bahawa usaha itu adalah usaha bersama.

“Alhamdulillah, hari ini seramai 981 mahasiswa telah berdaftar sebagai penggerak UMNOSISWA, sebuah sayap baharu yang memainkan peranan besar kepada kemandirian parti keramat orang Melayu ini.

“Ya, ia satu kejayaan tatkala UMNO telah kalah dan lumpuh. tetapi roh perjuangannya itu menghidupkan benih baharu yang lebih segar, terbuka, muda dan bertenaga.



“Kepada adik-adik pemegang wasiat wadah ini, jangan sesekali kita mengulangi silap yang sama. Anda adalah maha hadapan parti dan negara. Persiapkan diri dan ikhlaskan jiwa berjuang di medan ini. Meski ia berliku dan berduri,” katanya sambil mengucapkan selamat ulang tahun pertama UMNOSISWA. – UMNO ONLINE


Sebaran :


Leave a Reply