Pemimpin PH Perak tidak nyatakan pendirian sokong MB baharu
Tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) Perak tidak menyatakan pendirian menyokong sesiapa sebagai menteri besar baharu ketika dipanggil menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta sebentar tadi.
Mereka sebaliknya hanya memberikan pandangan mengenai perkembangan politik semasa susulan pengunduran Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar setelah kalah dalam undian percaya di Dewan Undangan Perak minggu lalu.
Bercakap kepada media selepas menghadap Sultan Nazrin, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi berkata, tidak ada apa yang dapat diulasnya mengenai situasi semasa.
“Tiada apa komen…tunggu yang lain,” katanya ringkas selepas menghadap Sultan Perak kira-kira hampir setangah jam.
Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata semua pihak perlu mendoakan yang terbaik.
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador turut tidak memberikan ulasan berikutan situasi yang berubah-ubah.
“Kita tidak boleh komen sebab banyak situasi sekarang saling berubah, kami hadir di sini untuk menyampaikan perkembangan kepada Tuanku sajalah,” katanya.
Ditanya, sama ada mereka menyokong calon dikemukakan Umno, tiga pemimpin itu melontarkan senyuman dan mengucapkan terima kasih kepada media.
PH sebelum ini dilaporkan memasuki rundingan menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno-Barisan Nasional namun usaha itu gagal selepas DAP berkeras mahukan jawatan EXCO kerajaan negeri, menurut sumber BN.
Umno dikatakan mencalonkan Ketua Umno Perak Saarani Mohammad sebagai calon menteri besar dan mengumumkan pilihan parti itu mempunyai sokongan majoriti ADUN di Perak. FMT
PAS tak jadi mengadap Sultan Perak, terima arahan pimpinan parti
You must be logged in to post a comment.