Isu Perak, jangan ghairah tuding jari pada UMNO – Pemuda UMNO



Pemuda UMNO memulang paku buah keras kepada Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan yang menuduh UMNO sanggup tidur sebantal dengan DAP.

Exconya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, persoalan itu sepatutnya diajukan kepada kepimpinan Bersatu, yang pernah tidur sebantal dengan DAP sebelum ini.

“Jangan samakan UMNO dengan parti lain yang pernah bergabung dengan DAP, sama ada melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat mahupun Pakatan Harapan.

“Sejarah membuktikan UMNO tidak pernah membentuk kerjasama dengan DAP, tetapi semua orang tahu kemenangan besar Bersatu dalam PRU 14 sehingga menjadikan mereka Perdana Menteri ditunjangi oleh DAP sebagai antara parti komponen terbesar.

“Mungkin beginilah cara parti politik tidur sebantal?,” soal beliau menjawab kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Kelantan, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan.




Dalam kenyataan itu, Muhammad Amiin dilaporkan berkata, perkataan ‘ABATA’ (agama, bangsa dan tanah air) yang sinonim dengan perjuangan UMNO sudah tidak boleh diguna pakai lagi.

Beliau berkata, semuanya dianggap palsu setelah UMNO menjatuhkan kerajaan majoriti Melayu dan Islam di Perak dengan bersekongkol bersama pembangkang daripada DAP.

Menurut Nik Saiful Adli yang juga Pengerusi Sekretariat Peguam Muda, krisis pemilihan Menteri Besar Perak itu, biarlah diselesaikan melalui kaedah perundangan yang betul dan mengambil kira pandangan serta sokongan ADUN.

Katanya, usahlah bercakap dicampur hasad dengki, kepentingan peribadi dan ketaksuban berparti dalam mengulas mengenai isu itu.

“Presiden dan pemimpin UMNO yang lain sentiasa konsisten dengan prinsip No DAP. Tiada siapa boleh mengatasi prinsip ini, tidak perlu cuba memulakan fitnah jahat terhadap UMNO berumpankan kebencian bangsa Melayu terhadap DAP.




“Saya minta Ketua Pemuda Bersatu Kelantan tumpukan perhatian membantu rakyat negeri itu yang kini sedang berdukacita menghadapi musim tengkujuh, bukan berpolitik menghasut ke arah perpecahan.

“Itupun jika benar fikirkan mengenai rakyat sebagaimana beliau suarakan keprihatinannya terhadap rakyat di Perak,” katanya.

Beliau juga menasihatkan Muhammad Amiin untuk serahkan keputusan di Perak kepada pucuk pimpinan parti, bukan mendahului dengan tohmahan yang akhirnya akan membawa perpecahan. MG

Pas Kelantan masih mahu meneruskan MN atau tidak?



Leave a Reply

Your email address will not be published.