Kemelut politik Perak diramal berakhir esok

Kemelut politik di Perak diramal menemui penghujung apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan sokongan kepada calon UMNO untuk dilantik sebagai Menteri Besar baharu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata situasi itu sekali gus mempamerkan status quo kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan kekal di Perak.

Bagaimanapun, beliau berharap, bekas Menteri Besar Perak itu tidak menyatakan sokongan bersyarat dengan menetapkan hanya calon tertentu daripada UMNO yang boleh dilantik untuk mengisi jawatan berkenaan.

Ini kerana, katanya, ada dakwaan mengenai PN bersedia bekerjasama dengan UMNO asalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dilantik sebagai Menteri Besar Perak baharu.



“Jika keadaan sokongan bersyarat ini berlaku jadi kemelut politik di Perak berkemungkinan akan berpanjangan. Ini kerana, UMNO yang mempunyai kerusi paling banyak mempunyai mekanisma tersendiri dan tidak akan benarkan pihak luar menentukan calon Menteri Besar.

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu berkompromi dengan keputusan ditentukan UMNO bagi memastikan keadaan ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Mungkin kemelut politik ini akan selesai menjelang esok kerana difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual masuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, esok,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ahmad Zahid akan mengadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh pada jam 10 pagi esok.



Terdahulu, Ahmad Faizal dilapor berkata, BERSATU Perak akan menyokong calon UMNO bagi mengisi jawatan Menteri Besar ke-14, selain Shahrul Zaman dalam entri di laman Facebooknya mengumumkan UMNO negeri mencalonkan Pengerusinya, Datuk Shaarani Mohamad sebagai calon untuk jawatan itu.

Bagaimanapun, gabungan PN dikatakan hanya bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO, jika Shahrul Zaman dilantik ke jawatan itu, seperti dilaporkan sebuah portal media.

Kemelut politik Perak bermula apabila Ahmad Faizal gagal meraih sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul indi percaya dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada sidang DUN, Jumaat lalu.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU dan Pengerusi BERSATU Perak itu hanya menerima 10 undi percaya berbanding 48 yang tidak menyokong beliau sebagai Menteri Besar, manakal seorang lagi ADUN berkecuali.



Daripada keseluruhan 59 kerusi di DUN Perak, UMNO mewakili 25 kerusi, diikuti DAP (16), BERSATU (5), AMANAH (5), PKR (3), PAS (3), GERAKAN (1) dan Bebas (1).

Zahid menghadap Sultan Perak esok, menyembah maklum nama calon MB



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker