Bersedialah dengan norma baharu politik Malaysia
KEMELUT politik yang melanda Perak susulan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besarnya memerlukan pengadaptasian norma baharu.
Norma baharu tidak terhad kepada gaya hidup dalam menghadapi krisis pandemik kesihatan seperti Koronavirus (Covid-19).
Bahkan, ia perlu diadaptasi oleh parti politik yang tidak mempunyai sokongan dua pertiga atau majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Justeru, jika kerajaan jatuh, untuk mengadakan pilihan raya dalam keadaan sekarang sememangnya akan mengundang kemarahan rakyat.
Oleh demikina, penyelesaiannya adalah mengadaptasi sesuatu baharu yang dianggap asing dan mustahil sebelum ini termasuklah kerjasama dengan pelbagai parti.
Dalam kontesk ini, di Perak, mustahil untuk UMNO membentuk kerajaan negeri dengan hanya memiliki 25 kerusi sahaja.
Waima DAP dan parti-parti lain pun mustahil untuk membentuk kerajaan kerana tiada yang mempunyai sokongan penuh untuk membentuk kerajaan.
“Pokoknya kita mesti keluar dari kepompong lama dan memulakan politik norma baru. Tiada musuh dan kawan politik yang kekal selagi kerajaan majoriti dua pertiga tidak wujud.
“Bersedialah dengan politik norma baru!”
Demikian kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebooknya hari ini.
Beliau mengulas insiden kejatuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak selepas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kehilangan sokongan dalam usul undi tidak percaya ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Keadaan tersebut menyebabkan kemelut politik melanda negeri itu apabila UMNO yang mengusulkan undi tersebut sementara Pas pula mengambil pendirian untuk tidak terlibat dengan pembentukan kerajaan baharu.
Kalau berada dalam keadaan luar pandemik, sudah pasti Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak boleh diadakan bagi memberi mandat baharu untuk membentuk kerajaan.
Namun, sekarang bukan masa yang sesuai, bagaimanapun, apabila parti-parti sudahpun menyatakan pendirian masing-masing maka satu bentuk permuafakatan baharu perlu dilakukan.
“Walaupun UMNO ada pendirian, iaitu ‘No PKR-No DAP’, usul tersebut tetap disokong. Maksudnya pendirian politik bukan mudah menghalang dinamika politik norma baru.
“Justeru UMNO tidak boleh apologatik? Takut dituduh mabuk kuasa, cium mulut dengan musuh dan gila jawatan. Usul UMNO itu wajar kerana hanya mahu tukar MB (Menteri Besar) yang gagal.
“Perak telah mempelopori politik norma baru. Apakah itu signal kepada Muhyiddin (Perdana Menteri)? Tidak mustahil ia berlaku di Pusat.
“Sebenarnya banyak kejutan sejak BN hilang kuasa. PH (Pakatan Harapan) tumbang apabila BN-GPS (Gabungan Parti Sarawak) dengan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) 2.0 bergabung. Sedangkan PPBM musuh yang kalahkan BN di PRU ke 14 (Pilihan Raya Umum Ke14).
“Rakyat mahu melihat siapa lebih bijak. Siapa pandai mengurus ekonomi, mengurus perkauman, mengurus janji dan mengurus kejujuran demi kelangsungan hidup rakyat,” jelas Mohd. Puad. – SM