Peristiwa Tumbangnya MB Perak Adalah Amaran Jelas Daripada UMNO
PETALING JAYA: Tumbangnya Timbalan Presiden PPBM Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak mungkin bermakna Umno memberi amaran kepada perdana menteri, kata seorang penganalisis politik.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, ia mungkin merupakan cara Umno menunjukkan rasa tidak puas hatinya terhadap PPBM dan parti itu tidak seharusnya memandang ringan perkembangan tersebut.
“Peringkat pertama Belanjawan 2021 mungkin telah diluluskan di Dewan Rakyat, tetapi Umno mungkin ada cara lain untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Umno masih boleh bekerjasama dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan perdana menteri melalui akuan bersumpah.
Langkah itu katanya, juga merupakan mesej kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun supaya membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
“Mereka mahu menegaskan sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh membenarkan usul percaya terhadap menteri besar, maka kenapa pula perkara sama tidak dibenarkan di Dewan Rakyat,” katanya.
Kemelut politik Perak: Perlantikan MB baharu adalah ‘Jalan Penyelesaian’
Sementara itu Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia juga berkata, PPBM perlu memperkuatkan hubungannya dengan Umno.
“Faizal mungkin kalah kerana perbalahan dalaman, bukannya disebabkan oleh pembangkang,” katanya, merujuk kepada Faizal yang tewas di DUN selepas 48 ahli dewan mengundi menolak usul undi percaya kepadanya semalam.
10 undi menyokong Faizal sementara satu undi rosak.
Usul itu dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baru Abdul Manaf Hashim yang mewakili Umno.
Namun bekas pensyarah Azmi Hassan berkata, kemelut di Perak tidak mencerminkan rasa tidak puas hati Umno terhadap PPBM di peringkat nasional.
“Semasa 22 bulan pemerintahan di bawah Pakatan Harapan (PH) pun, menteri besar itu berdepan masalah dengan PH,” kata Azmi, selain menambah bahawa ini mungkin disebabkan stail kepimpinan Faizal tidak serasi dengan orang lain.
“Beliau mungkin dilihat cenderung mencetuskan pecah belah untuk kekal berkuasa dan keadaan itu tidak boleh diterima orang lain,” katanya.
Azmi menasihati Muhyiddin sebagai presiden PPBM supaya melantik pemimpin yang lebih baik untuk memperkuatkan partinya.
Sultan Nazrin kuasa penentu masa depan Kerajaan Negeri Perak
You must be logged in to post a comment.