MB Perak Tumbang, MB Johor Pula Dalam Keresahan
Adun Bersatu Kempas, Osman Sapian membayangkan apa yang terjadi di Perak mungkin boleh juga berlaku di Johor.
Ini selepas Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu digulingkan sebagai menteri besar Perak semalam.
Kata Osman, Bersatu Johor barangkali boleh membalas dendam terhadap Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad yang berasal dari Umno.
Osman berkata dia terkejut apabila Faizal digulingkan kerana Umno dan Bersatu telah menjadi anggota gabungan yang sama yang membentuk kerajaan persekutuan dan negeri selama lapan bulan.
“Lebih-lebih lagi Ahmad Faizal merupakan timbalan presiden Bersatu, sudah tentu mengguris perasaan kami selaku ahli parti.
“Saya sendiri selepas mendengar berita ini amat terkejut dan sedih sedangkan kita bersama lebih lapan bulan membentuk kerajaan persekutuan dan negeri.
“Kalau ikutkan, boleh jadi balas dendam dengan melakukan perbuatan sama dilakukan wakil rakyat Bersatu kepada menteri besar daripada Umno,” katanya, petik laporan Utusan Malaysia.
Menurut Osman, kepemimpinan Bersatu lebih berhak untuk memutuskan hal ini.
“Namun saya tidak mahu ulas benda ini lebih-lebih kerana saya bukan kepimpinan negeri.
“Kita tengok dahulu sama ada ia boleh berlaku di Johor atau sebaliknya.
“Namun segalanya terserah kepada keputusan kepimpinan parti sama ada di peringkat pusat dan negeri yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya lagi.
UMNO bergabung dengan Dap, ini jawapan Najib