Anggota polis maut, kereta terbakar

Gambar Hiasan***

Gerik: Anggota polis maut selepas kereta dipandu terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 63.9 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu di Kampung Air Jada, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari, Lans Koperal Ahmad Firdaus Ismail, 24, yang bertugas di Balai Hutan Melintang, Hilir Perak maut di tempat kejadian.

Manakala, pemandu lori berusia 43 tahun dari Kuala Besut, Terengganu bersama kelindan berusia 19 tahun dan penumpang lain berusia 16 tahun dari Bandar Permaisuri, Terengganu hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu Toyota Vios bersendirian dari Tanah Merah, Kelantan untuk ke tempat anggota itu bertugas.



Menurutnya, lori berkenaan pula datang dari arah Pantai Remis, Perak menghala ke Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori terbabit dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Vios dipandu mangsa.

“Akibat kemalangan itu, Ahmad Firdaus disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.



Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik Pegawai Bomba Kanan II Zainal Abidin Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.08 tengah hari sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi.

Menurutnya, anggota bomba mendapati kereta Toyota Vios terbakar akibat kemalangan itu.

“Mayat mangsa kemudian dibawa keluar dari kenderaannya yang terbakar 60 peratus oleh orang awam sebelum anggota bomba tiba di lokasi,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker