Nazri Aziz cadang UMNO, Amanah dan PKR tubuh kerajaan di Perak

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan sebuah kerajaan baharu ditubuhkan di Perak susulan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.
Nazri juga mencadangkan agar UMNO bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membentuk kerajaan baharu di negeri itu.
“UMNO Perak perlu bekerjasama dengan Amanah dan PKR bagi membentuk kerajaan baharu yang diterajui UMNO.
“Apa yang berlaku di DUN Perak hari ini, Amanah dan PKR telah bersama UMNO menolak usul percaya terhadap Menteri Besar. Bersatu dan Pas tidak bersama UMNO,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Nazri menjelaskan, apa yang berlaku di Perak tidak akan menjejaskan kerajaan Pusat.
“Ini hanya berlaku di Perak, tidak ada kena mengena dengan Pusat… tidak semestinya bila di Perak berubah kerajaan maka di Pusat juga akan berubah. Ini norma baharu,” katanya lagi.
Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang dilantik sebagai Menteri Besar semasa Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan negeri dalam pilihan raya umum lalu.
Selepas penjajaran semula politik tanah air yang menyaksikan PH ditumbangkan Februari lalu, Ahmad Faizal kekal menjadi Menteri Besar dengan sokongan BN dan Pas.
Pada Jumaat, Ahmad Faizal kalah dalam undi percaya yang dibawa oleh wakil rakyat UMNO, menyebabkan Timbalan Presiden Bersatu itu hilang majoriti sebagai Menteri Besar.
Hanya 10 daripada 59 ADUN menyokong usul itu berbanding 48 yang menolak sementara satu undi rosak atau berkecuali.

Related Articles

One Comment

  1. Sudah terbukti Umno adalah parti yang tidak segan2 dan teragak2 untuk menjadi pengkhianat bangsa Melayu sebagai yang dibuktikan di Perak. Pemimpin Umno akan sedaya upaya melepaskan tengkuk masing2 tidak kira apa cara, waima bersekongkol dengan parti2 yang menghancurkan kepentingan umat melayu dan islam seperti PAN dan PKR. Perkara sama akan dilakukan oleh Umno di peringkat persekutuan bila tiba masanya nanti, diukur dengan suara2 pemimpin2 parti itu kebelakangan ini. Umat Melayu terutama ahli2 Umno patut sedar permainan jijik pemimpin2 Umno demi mendapatkan laba semula selepas kecewa selama hampir tiga tahun. Berhijrahlah beramai2 sebelum peristiwa 22 bulan berulang.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker