Edar dadah dalam lokap, pegawai kanan IPD Kota Tinggi berdepan tindakan
Pegawai kanan, beberapa pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bakal berdepan tindakan tegas termasuk boleh dibuang kerja susulan pembongkaran kegiatan pengedaran dadah di dalam lokap IPD itu baru-baru ini.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor telah diarah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap mereka yang dipercayai terlibat dalam kes itu.
“Kita akan jalankan siasatan rapi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang tidak menyelia, yang tidak ada aspek accountability,” kata beliau kepada pemberita di IPK Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak boleh berkompromi dengan kegiatan seumpama itu, lebih-lebih lagi berlaku di lokap IPD dan tiada sebab untuk pegawai berkenaan tidak menyedari kegiatan tersebut.
Pada 29 Nov lepas, polis menahan sembilan anggota daripada IPD berkenaan termasuk seorang wanita, merangkumi konstabel dan koperal yang bertugas di lokap berkenaan, serta seorang wanita orang awam kerana disyaki mengedar dadah di dalam lokap itu.
“Wanita (orang awam) yang berusia 23 tahun itu dipercayai anak kepada seorang tahanan di dalam lokap. Hasil ujian saringan juga mendapati dua anggota polis itu dan orang awam positif jenis dadah jenis methamphetamine,” kata Ayob Khan.
Seorang anggota polis yang positif dadah itu juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun berkumpulan pada 2017, katanya, menambah turut dirampas dari lokap berkenaan sejumlah dadah iaitu 38.65 gram syabu, 42.25 gram heroin serta sejumlah tembakau.
Menurut Ayob Khan, pihaknya mengesan kegiatan mengedar dadah di dalam lokap itu pada awal November dan mendapati prosedur saringan air kencing setiap tujuh hari ke atas tahanan tidak dilaksanakan di lokap berkenaan.
“Kita juga dapati anggota yang ditahan menerima habuan antara RM50 hingga RM1,500 setiap kali urusan berkenaan dijalankan. Ini pertama kali tangkapan dibuat, sebelum ini kita percayai ada berlaku tapi tiada laporan dibuat,” katanya.
Beliau berkata, susulan pembongkaran itu, polis menjalankan saringan urin ke atas 129 banduan di lokap tersebut yang mendapati 22 orang positif dadah jenis methamphetamine, morfin dan THC.
Pada 22 Nov lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Tinggi telah membuat saringan air kencing terhadap 16 banduan dengan lima tahanan didapati positif dadah jenis methamphetamine yang membawa kepada pembongkaran kegiatan pengedaran dadah di dalam lokap oleh anggota polis.
Ayob Khan berkata, satu kertas siasatan dibuka menurut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952. Bernama
Kes Pengganas LTTE: Datuk Ayob Khan kecewa kes tersebut diganggu ahli politik DAP
You must be logged in to post a comment.