Parti komponen PH nafi akan desak Anwar letak jawatan



Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menafikan dakwaan partinya akan memaksa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan dalam mesyuarat pada Isnin, 7 Disember ini.

Awal hari ini, timbul khabar angin bahawa Amanah bercadang untuk berbuat demikian selepas Anwar berjanji minggu lalu untuk meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang dalam masa tujuh hari, sekiranya tidak berjaya mengumpul sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Anwar bagaimanapun menafikan pernah membuat janji berkenaan.
Khalid berkata, dakwaan itu jelas berniat untuk melaga-lagakan parti Amanah dengan Anwar.

“Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Amanah baru-baru ini hanya memutuskan Amanah menghargai kesediaan Anwar untuk mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku pada 26 November lepas di Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun, kita juga telah bersetuju untuk berbincang bersama dengan rakan-rakan gabungan apa yang patut dibuat seterusnya selepas peristiwa itu.
“Oleh itu, adalah tidak benar sama sekali untuk mengatakan Amanah memberikan kata dua (ultimatum) kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan.




“Memberi kata dua kepada rakan-rakan gabungan bukan budaya Amanah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini portal The Malaysian Insight melaporkan Amanah bersetuju memberi peluang kepada Anwar mengotakan janji melepaskan jawatan Pengerusi Pakatan Harapan dan Ketua Pembangkang selepas gagal menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional dalam tempoh tujuh hari selepas pengundian Belanjawan 2021 pada Khamis lalu.

Laporan memetik sumber yang tidak didedahkan itu menjelaskan persetujuan dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa pimpinan nasional parti pada Ahad malam.
Sementara itu, seorang sumber dari parti DAP ketika dihubungi mengesahkan mesyuarat tersebut akan berlangsung.

“Ahli Parlimen DAP sudah diberitahu mengenai mesyuarat ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan mesyuarat bertujuan untuk mendesak Anwar berundur.

“Mesyuarat ini hanya lebih kepada mesyuarat susulan atau follow-up kepada mesyuarat Khamis lalu (selepas sesi pengundian Belanjawan 2021).




“Ahli Parlimen (DAP) hanya mahu mendengar apa perancangan Anwar dan jika ada sebarang kemas kini daripada beliau,” kata sumber itu lagi. Awani

Anwar gagal dapat sokongan sebagai PM, kata Dap dan Amanah



Leave a Reply

Your email address will not be published.