Dulu ‘terbang’ di udara, kini jaja burger di jalanan

Kuala Lumpur: Kokpit pesawat komersil Boeing 737 pernah menjadi ‘pejabat’ pemuda ini sejak lebih enam tahun lalu.

Namun, pandemik Covid-19 menukar norma kehidupan Mohammed Naeem Md Nassir, 30, yang kini bergelar usahawan burger.

Menceritakan kisah kehidupannya, anak muda dari Shah Alam ini mengakui kekok untuk memulakan perniagaan jenama ‘Smashed Burger’ namun tetap komited mencuba sesuatu yang baharu dalam hidupnya.



Menurutnya, dia bergelar juruterbang dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Pertama Kanan di Oman Air sebelum ‘dilepaskan’ syarikat penerbangan negara berkenaan pada April lalu kerana pengecilan operasi.

“Ketika menerima perkhabaran saya ditamatkan perkhidmatan, sudah pasti perasaan sedih mengenangkan kehidupan selepas ini kerana penerbangan adalah minat saya sejak kecil.

“Tidak sangka Covid-19 memberi tamparan begitu hebat kepada dunia sehingga saya sendiri terkena tempias wabak ini sehingga hilang mata pencarian,” katanya kepada Harian Metro.

Namun, enggan terus berduka, anak muda yang mesra disapa Naeem itu bangkit untuk memulakan kehidupan baharu dengan sokongan daripada isteri Intan Shazia Abdul Hariz Leong, 25, keluarga dan mentua untuk menjual burger di Bukit Jelutong sejak dua bulan lalu.



“Saya minat memasak dan mahu mencuba bidang baharu ini sebagai punca rezeki dengan menggunakan resipi sendiri selain mendalami ilmu memanggang daging burger dari Youtube dan Google.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada pelanggan sekitar Shah Alam terutama sejak kisah saya tular baru-baru ini.

“Saya juga bersyukur kerana memiliki sistem sokongan yang sangat padu daripada isteri, keluarga dan mentua kerana mereka turut membantu bukan sekadar sokongan malah memastikan operasi harian perniagaan lancar,” katanya yang memulakan kerjaya sebagai juruterbang pada 2014 dengan syarikat penerbangan negara.



Naeem berkata, dia masih menaruh harapan industri penerbangan akan kembali puloh segera namun dalam masa sama tetap akan meneruskan perniagaan burger.

Katanya, walaupun melalui dua dunia pekerjaan berbeza, satu persamaan kedua-dua bidang ini adalah ketelitian dan kualiti kepada pelanggan.

“Saya mahu terus berjaya dalam bidang perniagaan namun dalam masa sama tetap berhasrat untuk kembali ‘terbang’ sekiranya keadaan kembali pulih.

“Terima kasih kepada pelanggan yang menyokong perniagaan saya dan diharap kisah ini menjadi inspirasi untuk masyarakat bangkit meneruskan kehidupan dan berjuang melawan Covid-19,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker