5-0: Belanjawan kementerian perusahaan perladangan lulus

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui undian belah bahagi.

Speaker, Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata berdasarkan peraturan mesyuarat, keputusan menunjukkan 108 anggota parlimen menyokong usul peringkat jawatankuasa itu berbanding 95 yang menentang manakala 17 lagi tidak berada di dalam Dewan Rakyat.

“Dengan itu belanjawan kementerian perusahaan perladangan dan komoditi dijadikan sebahagian daripada jadual,” katanya.

Undian belah bahagi dijalankan selepas lebih 15 ahli parlimen, sebelum itu bangun menyokong RUU itu diputuskan menerusi kaedah berkenaan.

Sebelum itu, sesi penggulungan dilakukan oleh Timbalan Menteri Willie Anak Mongin yang menyaksikan kekecohan tercetus sebaik sesi penggulungan tamat.

Ini susulan tindakan ahli parlimen pembangkang yang bersorak ‘pengkhianat’ ditujukan kepada ahli parlimen Puncak Borneo itu.

Beberapa daripada mereka, kemudiannya mendakwa bahawa timbalan menteri yang keluar PKR pada Februari lalu dan menyertai Bersatu itu menunjukkan jari tengah ke arah mereka.

Fahmi Fadzil (PKR- Lembah Pantai) dan Kasthuri Patto (DAP-Batu Kawan) membuat hantaran di media sosial berhubung insiden tersebut.

Mongin menyertai kumpulan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali membentuk kerajan Perikatan Nasional (PN).

Pada pembentangan Belanjawan 2021, 6 November lalu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komodit diperuntukkan RM729.39 juta iaitu RM476.66 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM252.7 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Esok, tiga lagi kementerian akan menggulung iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Mk

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker