Jenamakan Produk Pertanian ‘Made In Johor’

 

Iskandar Puteri: Semua produk pertanian negeri ini yang dieksport akan dijenamakan ‘Made In Johor.’

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata produk pertanian yang dieksport akan ditambah nilai daripada segi pemprosesan, pembungkusan, keselamatan dan kualiti supaya ia diyakini sekali gus menjadi pilihan baharu pasaran antarabangsa.

Sehubungan itu beliau berkata, usaha itu akan dirintis menerusi pembangunan Agricultural Export Center (AE Center) bagi proses pensijilan dan kelulusan daripada jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dapat dijayakan.



“Inilah cadangan dan strategi kerajaan Johor bagi penjanaan hasil baharu

berasaskan perkhidmatan industri hiliran pertanian dan makanan negeri ini.

“AE Center yang akan dibangunkan itu bakal menjadi pusat keselamatan dan kualiti makanan menurut piawaian antarabangsa, penjenamaan dan akses kepada pasaran pertanian dunia.

“Selepas ini, semua produk eksport pertanian ke Singapura bakal ditambah nilai dari segi pemprosesan, pembungkusan, keselamatan, kualiti dengan penjenamaan ‘Made in Johor’.



“Kerajaan Johor amat yakin, dengan pembabitan kerajaan Persekutuan, pihak swasta serta pelabur strategik, usaha pembangunan AE Center produk pertanian eksport dapat direalisasikan dan jenama produk pertanian negeri akan diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Dr Faizul Amri Adnan (AMANAH-Serom), K Raven (BN-Tenggaroh) dan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini, hari ini.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, hasil pertanian Johor sememangnya mendapat permintaan yang amat baik di luar negara terutama Singapura ketika pandemik Covid-19.

“Sebanyak 970,000 tan metrik produk pertanian segar yang dianggarkan bernilai RM1.19 billion seperti buah-buahan, ayam segar, ikan segar, daging melalui Tambak Johor dihantar ke Singapura, tahun lalu.



“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik Covid-19 sejak Mac lalu, penghantaran produk pertanian segar ke Singapura terus dilaksanakan dengan hampir 350,000 tan metrik produk pertanian yang bernilai RM1.48 billion pada suku kedua tahun ini,” katanya.-HM

Sasar pengeluaran 80 tan susu segar sehari



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker