Sasar pengeluaran 80 tan susu segar sehari

Share


The Holstein Milk Company Sdn Bhd (Holstein) menyasarkan pengeluaran 80 tan susu segar sehari, menerusi pelaburan sebanyak RM30 juta bagi pembinaan kilang pemprosesan susu jenama FarmFresh di Kompleks Tenusu Muadzam Shah, Rompin dekat sini.

Ketua Pengawai Operasinya Azmi Zainal berkata pelaburan baharu itu meliputi bangunan dan pembelian dua jenis mesin pengeluaran, iaitu pasteurise dan UHT yang berkapasiti memproses sehingga 100 tan sehari.

“Buat masa ini, kita memproses 40 tan susu segar sehari yang diproses sebaik sahaja selesai diperah di ladang ternakan kami, yang berada dalam kawasan yang sama dengan kilang.

“Ini meningkatkan lagi kualiti berbanding sebelum ini, yang mana susu yang baru diperah perlu menempuh perjalanan selama enam jam untuk ke kilang pemprosesan di Larkin, Johor,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Azmi berkata buat masa ini, kilang yang baru dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub pada 15 Ogos lalu, mempunyai 65 orang pekerja dengan 95 peratus daripadanya ialah rakyat tempatan.

Perkara itu, menurut beliau membantu rakyat tempatan untuk mempelajari dan menguasi teknologi pemprosesan susu seperti yang menjadi amalan negara pengeluar susu terkemuka dunia.

Ini juga membolehkan Holstein bersama-sama membantu memenuhi sasaran kerajaan yang menyasarkan Kadar Sara Diri (SSL) pengeluaran susu segar tempatan 100 peratus, dalam tempoh lima tahun akan datang, katanya.

Azmi memaklumkan jumlah ternakan lembu di kompleks itu kini telah mencapai 3,200 ekor dan proses pemerahan kini dilakukan dengan penggunaan mesin pemerahan berputar, bagi meningkatkan pengeluaran susu.

“Ini membolehkan jumlah perahan susu sebanyak 970 ekor lembu dua kali sehari ditingkatkan kepada 1,500 ekor juga bagi dua kali perahan sehari dengan kadar purata perahan seekor ialah sebanyak 17 liter.

“Untuk tahun ini, kami berhasrat dapat mengeluarkan 10 juta liter susu mentah setahun yang merupakan 30 peratus daripada jumlah pengeluaran di semenanjung,” katanya.

— BERNAMA



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *