Ramai serbu kedai emas, 9 kompaun dikeluarkan’
Polis Kelantan mengambil tindakan terhadap beberapa kedai emas di sekitar bandar Kota Bharu, susulan gagal mematuhi prosedur standard operasi (SOP) pencegahan Covid-19.
Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata, setakat ini sembilan kompaun dikenakan terhadap pemilik kedai emas pada semalam dan hari ini kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan.
“Kita maklum orang ramai mahu membeli emas, namun perlu memastikan pakai pelitup muka selain menjaga penjarakan sosial.
“Pada masa sama, saya sudah mengarahkan anggota supaya memantau lebih kerap di kedai emas dan akan mengambil tindakan sekiranya mendapati mereka gagal mematuhi SOP ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, penurunan harga emas sejak minggu lalu menyaksikan orang ramai di sekitar Kota Bharu, berduyun-duyun mengambil peluang berkunjung ke kedai-kedai emas.
Tinjauan mendapati, kedai emas di kawasan bandar Kota Bharu, dipenuhi kaum hawa khususnya yang mengambil peluang untuk membeli barangan perhiasan baru.
Malah di sesetengah kedai emas didapati, para pelanggan dilihat tidak terkawal daripada aspek pematuhan operasi prosedur standard (SOP) Covid-19.
Mereka kelihatan tidak menjaga penjarakan sosial dengan mengerumuni meja pameran dan jualan ketika sedang memilih barang kemas yang diidamkan.
Seorang pelanggan, Rahayu Razali, 36, berkata, dia dan adiknya datang dari Bachok ke Kota Bharu, untuk membeli barangan kemas.
Katanya, penurunan ketara harga emas mutakhir ini memberi peluang untuk mereka membeli barang kemas.
“Ramai peminat emas termasuk kami ambil peluang ini untuk membeli barang kemas yang diidamkan. Sebab inilah waktunya apabila harga emas turun, kami boleh berjimat dan tak perlu keluarkan kos yang lebih besar berbanding ketika harganya melambung tinggi.
“Memang ramailah sebab semua orang ambil peluang untuk beli emas masa harga murah. Mengenai SOP itu sepatutnya bergantung kepada masing-masing untuk ambil berat dan patuhi langkah yang diambil.
“Alhamdulillah bolehlah buat aset dan simpanan untuk masa depan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin, turut mengingatkan pembeli dan penjual emas supaya menitikberatkan SOP kerana kes Covid-19 di Kelantan semakin meningkat.
“Setakat ini Kelantan sudah mempunyai tiga kluster dan kita berharap kerjasama semua untuk memutuskan rangkaian Covid-19,” katanya.
You must be logged in to post a comment.