Keputusan ‘sepihak’ Belanjawan 2021 tak hormat musyawarah – Pemimpin PAN Negeri

Sejumlah pemimpin akar umbi Amanah hari ini menolak apa yang disifatkan mereka sebagai keputusan sepihak ketika pengundian peringkat dasar Belanjawan 2021, pada 26 Nov lalu.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan 55 pemimpin Amanah di pelbagai negeri, mereka menyifatkan keputusan “unilateral dan luar mesyuarat” itu menunjukkan tiadanya sikap hormat kepada keputusan musyawarah dan majoriti yang dipersetujui.

“Tindakan ini telah mencalarkan reputasi PH selaku kerajaan yang diundi oleh rakyat pada PRU14.

“Kami juga ingin menegaskan pimpinan Amanah serta PH wajib berpegang kepada prinsip serta disiplin berorganisasi dan keputusan mesyuarat,” menurut kenyataan bersama itu.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama secara khusus, tetapi kenyataan itu dilihat merujuk keputusan saat akhir yang dibuat Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim agar ahli Parlimen PH tidak meminta undi belah bahagi dilakukan.

Keputusan itu menimbulkan tanda tanya ramai selain kritikan daripada pihak dalam PH sendiri.

Dalam penjelasannya kemudian, Anwar berkata keputusan itu kerana tidak mahu menolak insentif baru yang diumumkan tetapi dia berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi di peringkat jawatankuasa, ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Bagaimanapun, sumber dalam PH memberitahu Malaysiakini keputusan Khamis lalu mungkin ekoran Anwar tidak dapat meraih cukup sokongan untuk menghalang Belanjawan 2021 daripada diluluskan.

Susulan kritikan, Ketua Parlimen DAP Anthony Loke memohon maaf kepada penyokong dan ahli parti itu, malah tiga ahli Parlimen PKR sendiri, iaitu Akmal Nasir, Nurul Izzah Anwar dan Hassan Karim menyifatkan arahan itu sebagai mengecewakan.

Dalam pada itu, kenyataan pemimpin akar umbi Amanah itu menggesa ahli parti untuk menyahut seruan presiden, Mohamad Sabu agar mengukuhkan kerjasama dalam PH dan pada masa sama tidak memusuhi pembangkang yang lain.

“Kami mendesak agar hala tuju yang jelas dan tegas mesti diputuskan dengan segera untuk mengembalikan mandat rakyat dengan menolak kleptokrat dan menafikan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional,” menurut kenyataan itu.

Mereka juga memuji tindakan naib presiden Salahuddin Ayub yang memohon maaf kerana tidak menyokong proses undi belah bahagi diadakan.

Di sebalik arahan yang dikeluarkan, sejumlah ahli Parlimen Amanah bangun menyokong undi belah bahagi dibuat. Malah permintaan itu dimulakan oleh ahli Parlimen parti itu, iaitu Mahfuz Omar.

Mereka ialah Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr Hatta Ramli (Lumut), Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Hanipa Maidin (Sepang).

Ahli Parlimen lain yang turut menyokong ialah Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi), Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun), Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu), Shahruddin Md salleh (Pejuang-Sri Gading), Hassan Karim (PKR-Pasir Gudang), Baru Bian (PSB-Selangau) dan Mordi Bimol (DAP-Mas Gading).

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker