Mat Sabu sudah jatuh cinta dengan Mahathir dan tidak akan tinggalkannya.
Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah), Mohamad Sabu menegaskan, beliau tidak akan tinggalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, apatah lagi menghentamnya.
Ini kerana, kata beliau, menjadi prinsipnya apabila sudah bergabung dengan seseorang, amat sukar baginya untuk berpisah, disebabkan lamanya perhubungan sesama mereka dan kesamaan titik perjuangan.
Katanya, beliau telah bekerjasama dengan Dr. Mahathir untuk membentuk Pakatan Harapan (PH) dan sama sepentas melawan kerajaan kleptokrat (Barisan Nasional-BN) yang sangat berkuasa ketika itu.
“Selepas saya mengenali Dr. Mahathir dan dia mengenali saya, masakan saya hendak memaki hamun beliau.
“Begitu juga dalam PH yang menggabungkan tiga parti, Amanah, DAP dan PKR.
“Hubungan saya dalam PH khususnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah hubungan yang lama sejak 20 tahun yang lalu, sama-sama bersusah payah dalam perjuangan yang sama.
“Ianya mesti dipertahankan, di sebalik semua pihak mempunyai kelemahan masing-masing yang boleh diperbaiki,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Mohamad yang lebih dikenali dengan Mat Sabu, beliau membangkitkan isu itu kerana ada suara menasihatkan beliau supaya tinggalkan Dr. Mahathir dan menghentamnya kerana sudah berlainan aliran politik.
“Saya katakan tidak,” tegasnya.
Katanya, yang lebih utama baginya adalah kesatuan serta persahabatan dan pada masa sama, beliau sentiasa mencari jalan memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan.
“Inilah sikap saya,” katanya.
Mengimbas sejarah perjuangan dalam politik, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, apabila Tengku Razaleigh Hamzah dan kumpulannya menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan hendak bekerjasama dengan Pas, pada peringkat awalnya beliau agak sukar menerima kerjasama itu.
Katanya, beliau lebih cenderung bekerjasama dengan parti Islah, tetapi apabila Pas membuat keputusan bekerjasama dengan S46, beliau mendokong keputusan itu dan bekerja keras termasuk berceramah ke seluruh negara sepentas dengan Tengku Razaleigh.
Menurut beliau, pada 1999, apabila Pas hendak bekerjasama dengan Parti Keadilan Nasional dalam Barisan Alternatif (BA), beliau tidak bermasalah kerana yang memimpin parti itu adalah mereka yang pernah terlibat dalam gerakan belia termasuk ABIM, tokoh akademik dan gerakan sivil serta veteran politik tanah air.
“Ketika berlawan dengan BN yang dipimpin Dr. Mahathir, kita lawan bersungguh-sungguh sehingga ditahan ISA sebanyak dua kali pada tahun 1984 hingga 1986 dan tahun 1987 hingga1989.
“Pelbagai kata dan hentaman telah saya tujukan kepada Dr. Mahathir dalam ucapan-ucapan ketika melawan BN dan bekas Perdana Menteri ketika itu.
“Tetapi apabila beliau menubuhkan Gerakan Selamatkan Malaysia dan seterusnya menubuhkan Parti Bersatu untuk melawan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak, serta menghulurkan tangan untuk bekerjasama, kita terus bekerjasama dan bergabung di bawah PH,” katanya.
Katanya, kerja keras yang beliau lakukan itu membuahkan kejayaan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) dan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.
“Seperti saya katakan, apabila kita bergabung, untuk berpisah adalah sukar. Kita sentiasa mencari titik persamaan dan melupakan perbezaan silam dan ianya membuahkan kejayaan,” katanya. MG
Muhyiddin penting politik berbanding prinsip, kata Dr M
You must be logged in to post a comment.