Kerajaan harus bantu rakyat miliki rumah walau apa jua cara

Terkini di My KMU !!!!---->

Projek jualan rumah kepada rakyat asing tidak digalakkan

BANGI, 11 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Kerajaan memiliki tanggungjawab besar menyediakan rumah kepada rakyat walau dengan apa cara sekali pun.

Tanggungjawab itu turut perlu dipikul bersama syarikat pemaju perumahan dalam usaha membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menegaskan, tidak sukar untuk membuat kesimpulan kenapa puluhan ribu rumah yang telah siap tidak mampu dimiliki oleh rakyat kebanyakan di negara kita.

Katanya, ini kerana harga yang ditawarkan terlalu tinggi dan di luar kemampuan rakyat biasa.

“Sebanyak 31,661 buah rumah yang bernilai RM 20.03 billion tidak terjual sepanjang separuh pertama tahun 2020. Ini bererti, harga purata bagi puluhan ribu rumah yang tidak terjual itu ialah RM 631,691 bagi setiap unit.

“Kerajaan dan syarikat pemaju seharusnya membantu orang ramai untuk memiliki rumah ‘mampu milik’ dengan apa jua cara yang boleh.

“Saya tidak bersetuju dengan projek yang menggalakkan penjualan rumah-rumah kepada rakyat asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Laporan Pasaran Harta Tanah, H1 2020, sejumlah 31,661 unit rumah siap dibina bernilai RM20.03 bilion tidak terjual.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, jumlah itu adalah peningkatan 3.3 peratus dalam bilangan dan 6.4 peratus dalam nilai berbanding Separuh Tahun Kedua 2019 (H2 2019) iaitu 30,664 unit bernilai RM18.82 bilion.

Katanya, bagi membendung lambakan rumah termasuk rumah baharu di dalam negara, KPKT sedang melaksanakan beberapa inisiatif baharu seperti membangunkan Sistem Pengurusan Perumahan Bersepadu atau Housing Integrated Management System (HIMS) yang akan menggantikan sistem sedia ada bagi merekod maklumat perumahan.

“Antaranya berkaitan pemajuan perumahan yang ditetapkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 iaitu pengeluaran lesen, kawalan dan pemantauan projek, penguatkuasaan serta pemilikan perumahan di bawah projek perumahan swasta. Sistem ini dijangka siap pada pertengahan tahun 2021.

“Kita juga melaksanakan Kajian Analitis Data Raya Perumahan yang bertujuan mendapatkan situasi sebenar kedudukan dan ketersediaan data berkaitan sektor perumahan di Malaysia sebelum sebarang platform berkaitan dibangunkan,” katanya.

Leave a Reply