Tak perlu usik KWSP, kerajaan boleh pinjam, ini kata Najib

Ada yang mula kritik langkah pengeluaran KWSP diumum semalam yang akan menyuntik sebanyak RM70 bilion ke dalam ekonomi.

Mereka kata ianya lebih elok untuk kerajaan menambah hutang kerajaan untuk beri secara percuma kepada Rakyat.

Memang boleh. Siapa tak nak wang percuma RM10,000?

Tapi hakikatnya ialah kerajaan PH telah menambah hutang negara sebanyak RM140 bilion dan menjarah Petronas sebanyak RM84 bilion walaupun masa itu tiada krisis Covid atau ada apa-apa krisis.



Akibatnya nisbah hutang negara telah naik dari 48.7% masa PRU14 ke 54.4% – atau hampir sampai had statutori 55% masa itu.

Lalu, kerajaan PN telah luluskan RUU dalam dewan Rakyat untuk naikkan had statutori hutang dari 55% ke 60% pada bulan Ogos.
Dan setelah mengambil kira defisit yang besar bagi bajet 2021, had 60% ini pun telah langgar.

Jika kerajaan mengambil pendekatan untuk meminjam RM70 bilion lagi untuk beri wang percuma kepada Rakyat maka ini akan naikkan defisit kerajaan dengan 5% lagi.

Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan PN perlu kemukakan satu lagi RUU dalam Dewan Rakyat untuk naikkan lagi had statutori dari 60% ke lebih dari 65% sebab jika nak pinjam RM70 bilion lagi.



Ini bermakna nisbah hutang kerajaan kepada KDNK sudah naik dari 48.7% ke lebih 65% dalam masa tak sampai 2 1/2 tahun – bersamaan dengan kenaikan hutang negara hampir RM320 bilion dari RM686.8 bilion masa BN ke sekitar RM1 trilion.

Langkah ini bukan salah tetapi terpulang kepada kerajaan jika mereka mahu atau tidak.

Perlu ingat bahawa perbelanjaan RM70 bilion ini adalah 14 kali ganda jumlah BSH yang dibayar kerajaan PH pada tahun 2019.

Tapi impaknya ialah beban faedah hutang akan bertambah dan kemampuan kerajaan untuk memberi bantuan serta perbelanjaan kerajaan untuk tahun-tahun akan datang akan tertekan.



Penarafan kredit kerajaan juga mungkin diturun dan memberi impak kepada keupayaan negara menarik pelabur.

Pada saya, cara yang lebih baik ialah untuk kerajaan pulihkan simpanan KWSP yang dikeluarkan dengan kerajaan membantu KWSP dengan projek-projek lumayan, menaikkan semula kadar caruman dan mengstruktur semula bayaran dividen KWSP di mana mereka yang mempunyai baki yang rendah dibayar kadar dividen lebih tinggi.

NAJIB RAZAK

KWSP, moratorium: BN telah cuba yang terbaik membawa harapan rakyat, kini terpulang kepada kerajaan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker