Buku nota Charles Darwin dicuri dari Universiti Cambridge
LONDON – Dua buku catatan mendiang Charles Darwin yang mengandungi idea perintisnya mengenai evolusi dan lakaran ‘Pohon Kehidupan’ yang terkenal didapati hilang, dipercayai dicuri, kata Perpustakaan Universiti Cambridge hari ini.
Saintis Britain itu mengisi buku catatan tersebut pada tahun 1837 setelah kembali daripada pelayarannya di atas kapal HMS Beagle. Pihak perpustakaan itu menyatakan, harga buku catatan itu dianggar berjuta-juta pound sterling.
Dalam sebuah buku catatan itu, dia membuat rajah menunjukkan beberapa kemungkinan evolusi spesies dan kemudian menerbitkan ilustrasi lebih lengkap dalam buku terbitan tahun 1859 berjudul On the Origin of Species.
Perpustakaan yang luas di University of Cambridge pertama kali menyenaraikan dua buku nota itu sebagai hilang pada tahun 2001 setelah ia dipindahkan dari Bilik Koleksi Khas untuk sesi fotografi.
Pihak pengurusan perpustakan selepas itu bagaimanapun menyakini kedua-dua buku catatan itu sebenarnya silap difailkan tetapi berada di dalam bangunan perpustakaan tersebut.
Perpustakaan Universiti Cambridge menyimpan sekitar 10 juta buku, peta dan naskah dan memiliki salah satu arkib Darwin yang paling signifkan di dunia.
Bagaimanapun, carian utama tahun ini dan yang terbesar dalam sejarah perpustakaan itu, gagal menemui buku-buku nota tersebut.
“Justeru, kurator telah merumuskan bahawa buku-buku nota itu berkemungkinan besar telah dicuri,” kata perpustakaan itu dalam satu kenyataan.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat dan buku-buku tersebut telah disenaraikan ke dalam pangkalan data karya seni dicuri milik polis antarabangsa Interpol yang dikenali sebagai Psyche.
Pustakawan Universiti Cambridge, Jessica Gardner turut mengeluarkan rakaman video meminta orang ramai membantu mencari buku-buku nota hilang itu. -AFP
You must be logged in to post a comment.