Belanjawan 2021: Tiga fokus utama kebimbangan rakyat perlu dipinda – O2 Malaysia

Kerajaan disaran meminda Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam memastikan penyampaian yang lebih menyeluruh dapat dinikmati rakyat.

Penganalisis Penyelidikan, O2 Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata ia meliputi tiga perkara asas iaitu rantaian tawaran dan perkhidmatan, peluang pekerjaan serta pembangunan pendidikan dan luar bandar.

Berkait rantaian tawaran dan perkhidmatan, Anis Anwar berkata Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan inisiatif subsidi upah perlu dipertingkatkan berbanding peruntukan sebelum ini.

“Cuma kalau kita tengok, subsidi ini belum cukup untuk menampung operasi syarikat yang telah mengalami kerugian atau penurunan pendapatan yang sangat besar sehingga 30 hingga 40 peratus.



“Saya kira kerajaan perlu tambah lagi subsidi upah mungkin mencecah hingga 70 peratus supaya syarikat boleh operasi sedia kala atau kembali normal seperti sebelum pandemik COVID-19 ini,” katanya kepada Astro AWANI.

Ia akan menjadikan produktiviti individu mahupun perusahaan itu bukan sahaja dipulihkan, malah ditingkatkan.

Mengulas berkenaan mencipta peluang pekerjaan, beliau berkata kerajaan perlu memberi tumpuan kepada sektor-sektor yang lain dan bukan hanya sektor perindustrian, pembuatan dan perkhidmatan sahaja.

“Kerajaan perlu tumpukan (tingkat peluang pekerjaan) melibatkan sektor-sektor yang lain juga sebab kalau kita tengok, jumlah pekerjaan yang dicipta hanya dua hingga tiga peratus sebagai contoh dalam sektor pertanian.



“Jadi kita perlu tambah dalam sektor yang kurang diberi penekanan sebelum ini. Kerajaan perlu juga teroka bidang-bidang baharu khususnya dalam bidang bekalan tenaga bersih,” jelasnya.

Berkait pembangunan pendidikan dan luar bandar, Anis Anwar turut berharap supaya kerajaan meningkatkan fasiliti sekolah kebangsaan supaya ia bertaraf antarabangsa.

“Saya kira pembangunan luar bandar dan pendidkkan ini perlu ada visi yang lebih jauh.

“Contohnya seperti pembangunan pendidikan di mana kerajaan perlu fikir untuk sediakan fasiliti berkelas antarabangsa dan dasar satu guru 20 murid.



“Ini akan memastikan ibu bapa sekarang mempunyai keyakinan yang tinggi kepada sekolah kebangsaan dan mereka boleh menghantar semula anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan berbanding ke sekolah-sekolah persendirian atau sekolah antarabangsa,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap kerajaan mengambil pandangan pelbagai pihak dalam memastikan belanjawan yang holistik dapat dilaksanakan dan dinikmati semua peringkat masyarakat. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker