Perubahan SOP pengembara dari Sabah untuk tutup kesalahan Jeffrey Kitingan – Isnaraissah

Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis menyifatkan langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) secara tiba -tiba yang tidak memerlukan pengembara dari Sabah menjalani kuarantin kendiri adalah bagi menutup kesalahan Datuk Dr Jeffrey G Kitingan.

Beliau yang mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, Ahli Parlimen Keningau itu gagal memenuhi tempoh kuarantin selama dua minggu seperti diperuntukkan kerajaan terhadap mana-mana individu yang masuk atau keluar Sabah.

“Saya berada di KL (Kuala Lumpur) sejak 15 Oktober untuk memenuhi syarat 14-hari kuarantin dan tidak pernah balik kawasan lagi sehingga sekarang.

“Tiba-tiba tadi bila kita persoal kehadiran (Ahli Parlimen) Keningau yang belum sampai 14 hari, terus ubah SOP kah?,” soal beliau.

Isnaraissah Munirah merujuk kepada kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa pengembara dari Sabah perlu menjalani ujian calitan pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke negeri lain di Malaysia, mulai esok.

Adham berkata, ketika mana-mana pengembara yang didapati positif dalam ujian pengesanan Covid-19 atau bergejala tidak akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.

Kehadiran Timbalan Ketua Menteri Sabah itu di Dewan Rakyat, awal hari ini menimbulkan kekecohan apabila Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang menyedari kelibat Jeffrey meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membuat keputusan, sama ada Ahli Parlimen Keningau itu dibenarkan terus berada di dalam Dewan Rakyat atau perlu menjalani kuarantin.

Jeffrey menjalani kuarantin selama 12 hari bermula 12 November lalu hingga semalam, sebelum beliau masuk ke Dewan Rakyat hari ini untuk mengikuti sesi perbahasan Belanjawan 2021.

Bermula 27 September lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) meminta semua pengembara yang tiba dari Sabah menjalani saringan gejala, ujian pengesanan Covid-19 serta menggunakan aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di pintu masuk negara di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Prosedur saringan ini dilaksanakan sebagai satu aktiviti survelan bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah melawat negeri Sabah. MG

Kenapa tiada lagi kuarantin wajib bagi mereka yang pulang dari Sabah, soal Najib

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker