Mahathir umpama telefon lama – Pemuda PKR
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad diumpamakan sebagai telefon dail pusing yang lama, justeru tidak lagi relevan pada zaman telefon pintar.
Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman, berkata demikian sebagai mengulas serangan Mahathir ke atas Anwar Ibrahim dan menganggapnya sebagai “kolot dan layu”.
Tambahnya, bekas pengerusi Bersatu itu sudah tidak relevan lagi untuk terus berada dalam arus politik negara hari ini.
“Mahathir sudah tidak relevan lagi untuk terus berada dalam arus politik negara hari ini. Mahathir ibarat telefon dail pusing yang wujud di zaman telefon pintar (smartphone).
“Taktik serangan dengan mengimbas masa lalu dan hanya meletakkan segala kesalahan ke atas Anwar adalah taktik lama yang kolot dan layu.
“Corak pemikiran politik beliau sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai dipraktikkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 13 Nov lalu, media melaporkan Mahathir secara terbuka berkata Anwar tidak layak memegang jawatan perdana menteri.
Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, Mahathir berkata bekas timbalannya itu tidak mampu mengemudi negara jika berlakunya krisis kewangan, dengan menyorot krisis ekonomi pada 1997 sebagai contoh.
“Kita telah uji kebolehan beliau semasa saya jadi perdana menteri. Saya telah bercuti selama dua bulan (antara Mei dan Julai 1997) dan Anwar dilantik sebagai perdana menteri pada masa itu.
“Terpulanglah kepada kita untuk menilai sama ada dia mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik.
“Saya tidak tahu penilaian yang akan dibuat oleh rakyat tetapi yang jelasnya dalam krisis kewangan 1997/98 dia tidak berkeupayaan,” katanya dalam wawancara itu.
Mahathir juga mendakwa presiden PKR bersama Pakatan Harapan (PH) tidak mampu untuk merampas kembali kerajaan meskipun dia tiada lagi dalam PH.
Syed Badli berkata, individu yang masih bergantung harap kepada cara politik diamalkan oleh Ahli Parlimen Langkawi itu perlu belajar untuk keluar dari kepompong politik sempit.
“Mahathir sudah membuktikan kebolehannya dalam berpolitik dan jasa beliau kepada negara cukup besar. Namun zaman kegemilangannya sudah tamat.
“Justeru, sudah sampai masanya kita tinggalkan cara politik masa lalu dan bergerak ke arah politik masa kini.” katanya lagi. Mk
Polis tak boleh sebarangan periksa telefon bimbit, kata bekas KPN
You must be logged in to post a comment.