Fabrik Botol Plastik

SIAPA sangka botol-botol plastik yang dibuang boleh menjadi sehelai kain untuk dihasilkan busana dan pada masa sama dapat menyelamatkan bumi daripada pencemaran sisa pepejal itu.
Perkara tersebut telah direalisasikan pereka fesyen terkenal tanah air dan juga pencinta alam, Muhammad Hatta Dolmat, 38, atau lebih dikenali Hatta Dolmat yang menghasilkan koleksi lestari dikenali sebagai HD Monogram 20/21.

Muhammad Hatta menggabungkan elemen fesyen dan kemampanan alam sekitar sebagai paksi utama koleksi HD Monogram itu yang dilancarkan di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) Digital pada 13 November lalu.

Baju-baju tersebut dihasilkan daripada fabrik berkualiti tinggi yang mengandungi 60 peratus bahan kitar semula botol plastik dan digabungkan bersama 40 peratus bahan organik.

“Proses penghasilan fabrik ini dilakukan bermula daripada pengumpulan bahan seperti botol plastik untuk dimampatkan dan dibawa ke kilang pemprosesan.

“Kemudian, botol-botol tersebut dihantar ke China untuk diproses menjadi kain memandangkan teknologi yang dinovasikan dari Jerman itu hanya terdapat di negara itu dan India,” katanya ketika ditemui K2 di Butik Hatta Dolmat, Soho Suites KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terangnya, botol plastik yang telah dimampatkan itu dihancurkan, dicairkan sebelum dibentuk menjadi ketulan plastik lebih kecil kemudian dihancurkan sekali lagi serta diputar dan akhirnya terhasillah benang viscose.

Proses tersebut juga menggunakan kurang tenaga iaitu sebanyak 30 peratus berbanding penghasilan pakaian secara konvensional.

Usaha itu menjadikan Hatta Dolmat sebagai pereka fesyen Malaysia pertama yang merevolusikan penghasilan pakaian berkonsep lestari itu.

Sehubungan itu, Hatta telah melakar sejarah yang tercatat dalam Malaysia Book Of Records baru-baru ini iaitu sebagai pereka fesyen lestari pertama dengan koleksi lestari di Malaysia.

Bagi penghasilan koleksi lestari tersebut, Hatta mendapat kerjasama daripada SWCorp dan Kloth Cares yang berhasrat untuk mendidik masyarakat tentang kepenggunaan bahan kitar semula bagi menghasilkan koleksi pakaian berkualiti tinggi.

FABRIK yang diproses daripada botol plastik ini kelihatan seperti kain yang sempurna.

Menurut Hatta, setiap tahun lambakan sisa plastik botol dan fabrik di Malaysia amatlah membimbangkan sehingga menyebabkan ekosistem sesebuah kawasan itu terjejas dengan sangat teruk ekoran kurangnya ilmu dan amalan sikap acuh tak acuh sesetengah pihak.

“Di sebalik kepesatan perkembangan industri fesyen dan tekstil tempatan, kita tidak dapat menafikan bahawa industri ini juga merupakan antara penyumbang terbesar yang menghasilkan janaan sisa tekstil di pusat pelupusan sampah.

“Sebanyak 195,300 tan sisa tekstil bersamaan 325 juta pakaian dikumpulkan di pusat pelupusan sampah dalam setahun,” ujarnya yang berasal dari Kuala Sungai Baru, Melaka.

Tambahnya, industri fesyen merupakan pengeluar sisa sampah dan pencemaran kedua terbesar selepas industri petroleum.

Oleh itu, Hatta berasa bertanggungjawab dan terpanggil untuk menyelamatkan alam sekitar dengan menjadi perintis di Malaysia bagi mendidik masyarakat terutamanya golongan pemain dalam industri fesyen tentang kelestarian fesyen.

REKAAN fesyen berasaskan fabrik daripada botol plastik oleh Hatta yang kelihatan begitu menarik.

Bercerita lanjut mengenai idea untuk menghasilkan koleksi lestari HD Monogram itu, Hatta memberitahu, ia diinspirasikan daripada pengalamannya ketika masuk hutan dan mengikuti aktiviti amal berkaitan alam sekitar seperti pembersihan sungai dan pantai serta penanaman pokok.

“Sebenarnya sudah lama saya memendam hasrat untuk menghasilkan koleksi sebegini tetapi sukar mendapatkan sokongan mungkin kerana fesyen lestari ini masih baharu di Malaysia.

“Koleksi ini bukanlah yang pertama saya hasilkan kerana sejak tahun 2015 telah mula berjinak-jinak dengan fesyen lestari dengan menghasilkan hampir 200 topi bucket daripada kain lebihan baju kurung, malah turut menggunakan fabrik koleksi Beetle terdahulu untuk membuat beg pouch,” tutur anak keempat daripada enam beradik itu.

Hatta bersyukur, koleksi lestari HD Monogram 20/21 yang merupakan projek tanggungjawab sosialnya itu mendapat kerjasamana daripada SWCorp dan Kloth Cares.

Lebih membanggakan, koleksi lestari itu merupakan apresiasi sempena sambutan ulang tahun Hatta Dolmat ke-15 dalam industri fesyen.

Di samping itu, ia juga sejajar dengan gerakan kempen Hatta Dolmat’s: Sustainable Awareness Movement.

Hatta memberitahu, pada awalnya, projek fesyen lestari tersebut hendak dilaksanakan di Kuala Lumpur Young Designer Award tetapi kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada ketika itu lantas program tersebut terpaksa ditunda pada tahun hadapan.

“Oleh itu, saya menggunakan platform KLFW untuk menonjolkan rekaan lestari HD Monogram ini.

“Saya berasa sangat gembira kerana ramai yang begitu teruja dengan koleksi ini dan pada masa sama dapat membuka mata semua orang mengenai fesyen lestari yang juga merupakan fesyen masa depan,” ujarnya yang merupakan pengasas Kuala Lumpur Young Designer Award.

Mengulas mengenai rekaan HD Monogram 20/21 itu, Hatta berkata, beliau menggunakan fabrik daripada plastik tersebut bagi menghasilkan busana yang didatangkan dalam 10 gaya.

“Setiap satu gaya itu mempunyai satu set seperti kemeja, jaket dan seluar.

“Saya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk membuat lakaran, konsep dan menterjemahkannya dalam pakaian,” katanya yang pernah merangkul beberapa anugerah seperti, Anugerah Jarum Berlian dan UDC Business Award Best Designer Of The Year.

Sementara itu, bagi penghasilan aksesori yang terdiri daripada beg tangan, kasut dan topi, Hatta menggunakan lebihan perca kain.

Beliau berharap, perca kain itu dapat digunakan sepenuhnya tanpa perlu dibuang kerana ia memerlukan hampir 200 tahun untuk terurai di dalam tanah.

Koleksi lestari HD Monogram itu boleh dibeli secara online di hattadolmat.net pada harga bermula RM110.

Hatta berpegang teguh kepada misi untuk mengurangkan lambakan sisa pepejal plastik dan tekstil di tapak pelupusan sampah dan dia tidak akan pernah berhenti memperjuangkan perkara itu.

“Koleksi ini adalah sebagai permulaan dan saya akan memperluaskan usaha ini pada masa akan datang.

“Justeru, saya memerlukan sokongan daripada semua pihak kerana isu ini sangat serius dan perlu dibendung demi kesejahteraan alam untuk generasi akan datang,” kata penggemar rona putih itu.

Isu Batik Malaysia Tak Laku, Pereka Fesyen Punya Pandangan! – “Benda Murah, Cantik, Ada Trend Depa Pakai…”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker