Ahli Sukan Olimpik Malaysia Farah Ann Mempunyai Model Barbie
“SEWAKTU kecil dahulu, saya sangat suka patung Barbie. Kek hari jadi juga pernah berbentuk Barbie.
“Bagaimanapun, tidak pernah terlintas di fikiran pada waktu itu bahawa satu hari nanti saya akan dijadikan patung Barbie dalam versi miniatur,” cerita ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi dengan penuh teruja kepada K2.
PATUNG Barbie yang dihasilkan Mattel menyerupai diri Farah Ann dengan syarikat pengeluar mainan itu turut mengambil ukuran badannya.
Ternyata benar kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu.
Jika dahulu Farah Ann hanya sekadar bermain dengan patung Barbie, namun kini dirinya begitu bertuah apabila terpilih untuk dijadikan model patung Barbie selepas syarikat mainan terbesar dunia dari Amerika Syarikat (AS), Mattel mengeluarkan patung Barbie edisi khas menyerupai dirinya.
Lebih membanggakan apabila patung Barbie edisi khas itu turut dinamakan bersempena nama gadis kacukan Melayu dan Kanada itu.
Pemilihan gadis berusia 26 tahun tersebut, lantas menjadikan dirinya sebagai wanita pertama Malaysia yang dipilih untuk diabadikan dirinya pada patung antarabangsa itu.
“Terkejut tetapi teruja. Itu yang saya rasakan ketika pertama kali diberitahu mengenai perkara tersebut.
“Tambahan pula zaman kanak-kanak saya diwarnai dengan anak patung Barbie. Sudah tentu saya rasa bersyukur dan berbesar hati kerana dipilih untuk dijadikan patung Barbie sebagai suri teladan (role model) bagi gadis-gadis di negara ini dalam bidang sukan,” kata anak kepada pasangan suami isteri, Abdul Hadi Ahmad dan Kimberly Ann Gagnon itu.
Bertemakan Anda Boleh Jadi Apa Sahaja, Anda Boleh Jadi Atlet, patung Barbie Farah Ann dicipta khas bagi projek Dream Gap Barbie bertujuan memberi inspirasi kepada kanak-kanak bagi meneruskan kerjaya dalam dunia sukan.
Farah Ann juga disifatkan sebagai suri teladan apabila pada kotak Barbie tersebut juga tertulis Barbie Meraikan Suri-Suri Teladan Tahun 2020.
Pembikinan patung
Melihatkan pencapaian cemerlang Farah Ann dalam arena sukan negara, tidak hairanlah jika Mattel memilih gadis kelahiran Subang Jaya, Selangor itu untuk dijadikan Barbie.
Pengalamannya dalam dunia sukan terutamanya gimnastik artistik sangat meluas. Menceburi sukan tersebut sejak berusia tiga tahun, kemenangan demi kemenangan berjaya dirangkul oleh anak kedua daripada tiga beradik itu.
Kakaknya, Katrina Ann juga merupakan seorang atlet kebangsaan bagi acara sukan renang berirama.
Antara kemenangan besar yang berjaya digapai oleh Farah Ann ialah meraih pingat emas berpasukan gimnastik wanita bagi Sukan SEA 2015 dan 2017 serta emas acara senam lantai Sukan SEA 2015 dan 2017.
Farah Ann turut berjaya merangkul emas bagi acara keseluruhan individu serta emas acara senam lantai dan palang tak sejajar pada Sukan SEA 2019.
Gadis ini juga cemerlang apabila layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung tahun depan secara merit sepenuhnya.
Bukan itu sahaja, Farah Ann juga pernah diberikan darjah kebesaran iaitu Ahli Kegemilangan Sukan Selangor sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Disember 2016.
Mengimbau kembali kenangannya membesar bersama patung kegilaan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia itu, cerita Farah lagi, ketika di zaman kanak-kanaknya, harga anak patung Barbie tidak semurah yang dijual di pasaran hari ini.
Disebabkan itu, Farah Ann hanya akan mendapat anak patung pada hari-hari istimewa seperti hari lahirnya.
Kebiasaannya, patung tersebut akan dimainkan bersama-sama kakak dan adik selain rakan.
“Kalau tidak silap, saya mempunyai tiga patung Barbie yang mana ia akan dikongsi bersama kakak dan adik.
“Menariknya bermain dengan Barbie ini ialah apabila pakaian pada patung tersebut boleh ditukar-tukar. Dengan patung ini, saya boleh mencipta pelbagai watak dan karakter ketika bermain.
“Paling tidak dapat dilupakan apabila saya sering bermain anak patung Barbie dengan menjadikannya beraksi gimnastik,” katanya dengan nada ceria.
Melihatkan anak patung yang dibuat khas untuk ratu gimnastik negara ini, ramai yang teruja dan melahirkan rasa kagum. Sekali imbas, patung tersebut kelihatan 99 peratus seperti Farah Ann biarpun dalam versi miniatur.
Malahan patung berkulit putih dan berambut hitam itu kelihatan menyerlah dan mempunyai aura tersendiri dengan leotard (baju gimnas) menggunakan gabungan rona perak, merah jambu, emas dan putih yang tersarung pada tubuh plastik tersebut.
Bercerita lanjut menurut Farah Ann lagi, dia terlibat secara langsung di dalam pembikinan patung tersebut.
“Proses penghasilan patung ini bermula sejak bulan Mac lalu. Bagaimanapun, disebabkan oleh pandemik Covid-19, tempoh menyiapkannya tertunda.
“Pihak Mattel membuatnya dengan terperinci termasuk mengambil ukuran badan saya yang sebenar,” katanya.
Katanya lagi, dia begitu teruja kerana diberi peluang memilih sendiri leotard untuk disarungkan pada patung Barbie tersebut.
“Ada yang tertanya mengapa leotard ini dipilih untuk disarungkan pada patung Farah Ann?
“Leotard inilah yang dipakai ketika bertanding pada Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur dan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast. Kedua-dua pertandingan itu merupakan antara memori terindah sepanjang karier gimnastik saya,” terangnya.
Percaya diri
Di kaca mata umum, Farah Ann dilihat sebagai seorang individu yang sempurna serba-serbi.
Sudahlah memiliki seraut wajah cantik dan susuk tubuh angsing, Farah Ann juga berbakat dalam arena sukan.
Lantaran itu, ramai dalam kalangan anak muda menjadikan Farah Ann sebagai sumber inspirasi mereka.
Berpegang dengan prinsip percaya kepada diri sendiri, Farah Ann menasihati anak gadis yang berhasrat untuk menjadi seorang atlet agar sentiasa percaya kepada diri.
“Setiap anak gadis pasti mempunyai impian yang terpupuk dari kecil dan mereka seharusnya diberi peluang untuk merealisasikan impian itu serta berusaha menjadi apa yang diinginkan.
“Sebagai atlet, mesti sentiasa percaya kepada kebolehan diri sendiri. Menjadi atlet ini tidak semudah yang disangka.
“Kita tidak akan terlepas daripada waktu susah dan senang. Apa-apa pun, jangan pernah berhenti dan terus mara ke hadapan,” jelasnya.-K’Online
Kredit: Marshable SEA
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=D2UaL3UUfj0[/embedyt]
You must be logged in to post a comment.