Belanjawan 2021: PN dapat manfaat sekiranya Ku Li tidak sertai undian

Sekiranya tokoh veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah tidak menyertai undian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, ia dilihat akan memberikan kelebihan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Felo Penyelidik Ilham Centre Prof Dr Hamidin Abdul Hamid berkata, kerajaan PN tidak perlu bimbang akan hilang satu undi yang menyokong mereka susulan ketidakhadiran Ahli Parlimen Gua Musang itu.

“Saya melihat kegagalan Ku Li hadir pada hari pengundian akan memberikan kesan yang positif kepada kerajaan PN.
“Kerana, ini akan dikira sebagai beliau tidak hadir ke ‘mahkamah’.

“Kemenangan majoriti (ketika pengundian) ditentukan hanyalah melalui perkara yang berkaitan dengan perlembagaan di Parlimen,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Bagaimanapun, Hamidin berpendapat wajar untuk Tengku Razaleigh hadir pada hari pengundian Belanjawan tersebut, yang dijadual diadakan selepas selesai sesi penggulungan oleh menteri, sama ada pada 25 atau 26 Nov.

“Dalam konteks ini, saya rasa Ku Li seharusnya hadir untuk membuat pengundian dan memberikan undinya tentang Belanjawan 2021.
“Persoalan tentang persetujuan beliau untuk mengambil kira dalam perdebatan adalah perkara yang lain, atau berbeza dengan pengundian,” jelasnya.

Pada Isnin, Tengku Razaleigh menjelaskan pendiriannya menerusi sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harin bahawa beliau tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kerana keabsahan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat ditentukan.

Beliau menerusi surat bertarikh 19 Nov 2020 itu juga menjelaskan, mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan tanpa memastikan sama ada perdana menteri dan jemaah menteri sah atau tidak dalam jawatan, akan menjejaskan salah satu prinsip penting perlembagaan. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker