Rayuan Anwar terhadap kes liwat didengar 5 Mac · MYKMU.NET

Rayuan Anwar terhadap kes liwat didengar 5 Mac

Share

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman pemula beliau berhubung sabitan dalam kes liwat membabitkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peguamnya J Leela, ketika dihubungi berkata, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dibenarkan mencelah dalam prosiding rayuan itu telah memohon penangguhan sementara menunggu keputusan isu berkaitan di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini pendengaran rayuan itu ditetapkan pada 18 November lepas.

“Permohonan Muhammad Shafee untuk kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan mahkamah yang menolak permohonan beliau bagi memadam afidavit Siti Rahayu (Mohd Mumazani) atau menyoal balasnya telah ditetapkan untuk pendengaran pada 21 Jan tahun depan,” kata Leela.

Pada 29 November 2018, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhammad Shafee untuk memadam afidavit dan menyoal balas Siti Rahayu yang juga pegawai khas bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Bagaimanapun, mahkamah itu membenarkan Muhammad Shafee mencelah dalam prosiding rayuan Anwar dalam tindakan sivil beliau berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.

Siti Rahayu memfailkan afidavit menyatakan bahawa maklumat baharu yang diperoleh mendakwa sejumlah RM9.5 juta telah dibayar kepada Muhammad Shafee daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara 2013 dan 2014.

Kes dadah: Anak Mat Sabu fail rayuan terhadap sabitan, hukuman

Anwar, dalam saman pemula yang difailkan pada 9 Jun 2017 terhadap kerajaan Malaysia telah mendakwa bahawa beliau tidak dibicarakan dengan adil dalam rayuannya berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memohon satu deklarasi bahawa sabitan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 ultra vires atau melangkaui kekuasaan Perlembagaan Persekutuan dan oleh yang demikian, adalah terbatal serta tidak sah.

Beliau juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu ultra vires dan oleh yang demikian, adalah terbatal serta tidak sah.

Sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Anwar telah mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Pada 8 November 2017, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula Anwar selepas memutuskan bahawa kesnya tidak mempunyai asas dan sebarang bukti sebagai sokongan. – Bernama

Leave a Reply