Pro Bersatu : Mati dalam beriman lebih penting, sindir Annuar Musa
Jurucakap Bersatu dan sudah ‘mati’ dalam UMNO adalah antara tohmahan yang dilemparkan terhadap Tan Sri Annuar Musa kerana dilihat lantang mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding partinya sendiri.
Namun Menteri Wilayah Persekutuan itu tidak melatah biarpun dilabel dengan bermacam gelaran, namun beliau tenang sambil menyindir ‘mati dalam keadaan beriman lebih penting daripada segala-galanya’.
“Ya Alhamdulillah, kalau saya mati dalam UMNO dan selain saya mati dalam Islam dan memang saya nak mati dalam UMNO.
“Sesetengah kawan saya lama-lama duduk dalam UMNO…mati dalam parti lain….sebab mati ini ketentuan ilahi
“Kalau dia kata saya mati dalam UMNO, kira okay laa, tiada masalah, Alhamdulillah, yang penting mati dalam beriman,” katanya pada sidang media di Menara DBKL 3, hari ini.
Beliau mengulas laporan portal FreeMalaysiaToday hari ini bahawa Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Annuar sebagai figura yang sudah mati dalam perjuangan UMNO.
Menurut Nur Jazlan, walaupun Annuar sudah mati dalam UMNO, namun Ahli Parlimen Ketereh itu masih enggan melompat ke Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu Annuar menegaskan UMNO perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan diterima parti itu dalam Kabinet Muhyiddin.
Dalam satu wawancara bersama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan anjuran Umno Online kelmarin, Annuar juga mendakwa segelintir ahli dalam parti itu sudah lupa, UMNO adalah parti yang kalah dan sudah jatuh. MG