Pfizer Tunggu ‘Lampu Hijau’ Untuk Edar Vaksin Covid-19
Washington: Pfizer dan rakan niaganya, BioNTech sudah mengemukakan permohonan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) bagi kebenaran kecemasan penggunaan vaksin yang dibangunkan pihaknya.
Vaksin itu dibangunkan dalam tempoh amat pantas iaitu 10 bulan selepas kod genetik Covid-19 dikenal pasti.
“Ya, kami sudah mengemukakan (permohonan itu),” kata jurucakap Pfizer kepada AFP,
Pengumuman itu susulan syarikat berkenaan melengkapkan ujian percubaan vaksin itu yang menunjukkan ia 95 peratus berkesan dalam melindungi individu daripada jangkitan virus berkenaan.
Dalam pada itu, vaksin dibangunkan syarikat berkenaan kini dalam proses penilaian di negara-negara Kesatuan Eropah, Australia, Kanada, Jepun dan United Kingdom.
“Kami bersedia untuk mengedarkan vaksin berkenaan dalam tempoh beberapa jam selepas mendapat kelulusan berbuat demikian,” kata kenyataan Pfizer/ BioNTech.
Tempoh singkat untuk penghasilan vaksin tidak pernah dilakukan di mana-mana negara dunia, sebelum ini.
Sejak beberapa dekad lalu, vaksin di AS, secara puratanya, memakan masa lapan tahun untuk dibangunkan.
Kerajaan AS, sebelum ini, menjangka dapat memberi vaksin kepada 20 juta rakyatnya pada Disember, dan antara 20 juta hingga 35 juta orang untuk setiap bulan berikutnya.
Keberkesanan vaksin dibangunkan Pfizer juga menunjukkan ia konsisten untuk individu daripada semua peringkat usia.
Bagaimanapun, vaksin berkenaan perlu disimpan di bawah suhu -70 darjah Celcius, berbanding satu lagi vaksin dibangunkan syarikat Moderna yang hanya memerlukan ia disimpan di bawah suhu -20 darjah Celcius atau suhu peti ais biasa.
Bagaimanapun, dos vaksin Pfizer-BioNTech adalah lebih kecil, iaitu 30 mikrogram, berbanding vaksin Moderna (100 mikrogram) sekali gus mengurangkan kos penghasilan untuk setiap dos.-HM
You must be logged in to post a comment.