Adakah satu dosa besar kerajaan lindungi kepentingan rakyat? – Ka Siong

Share

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membidas ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yang mempersoalkan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik balik pengecualian dasar kabotaj untuk menggunakan kapal asing bagi memperbaiki kerosakan kabel dasar laut yang diluluskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

Tegas Menteri Pengangkutan (MOT) itu, adakah melindungi kedaulatan dan kepentingan rakyat Malaysia dengan menarik balik pengecualian dasar kabotaj itu satu dosa besar bagi Loke.

Malah katanya, keputusan kerajaan itu disambut baik Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA) yang menyampaikan penghargaan kepada MOT atas pembatalan pengecualian dasar kabotaj yang diberikan.

“Saya nak menegaskan bahawa MOT kini di bawah kepimpinan saya memberi keutamaan kepada kapal dan pekerja tempatan berbanding kapal atau hak asing,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Ka Siong berkata, tanggungjawab MOT adalah melindungi kepentingan rakyat Malaysia dan memupuk industri perkapalan domestik.

Beliau menjelaskan, pembatalan pengecualian itu juga dilakukan mengikut lunas undang-undang iaitu Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Lagi pun, banyak negara-negara jiran atau serantau mengamalkan dasar kabotaj, kenapa Kerajaan Malaysia tak boleh?

“Kalau tak faham lagi, minta para pemimpin PH dan DAP membaca kenyataan media MASA,” katanya.

Selasa lalu, Loke yang juga bekas menteri pengangkutan mempersoalkan langkah kerajaan membatalkan dasar pengecualian kabotaj yang bertujuan mempercepat pembaikan kabel bawah laut yang menghubungkan infrastruktur internet Malaysia ke seluruh dunia.

Loke memberitahu, pihaknya telah memberikan pengecualian tersebut mulai 1 April tahun lalu atas desakan dari pemain industri internet termasuk syarikat yang berkaitan dengan kerajaan dan setelah berunding dengan pejabat kementeriannya serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Bagaimanapun jelas Loke, penggantinya Wee Ka Siong secara senyap-senyap membatalkan pengecualian berkenaan yang diwartakan pada 13 Nov dan berkuatkuasa 15 Nov.

Dalam perkembangan berkaitan, MASA dalam kenyataannya kelmarin merakamkan penghargaan kepada kerajaan memansuhkan pengecualian dasar kabotaj itu yang disifatkan melindungi industri perkapalan tempatan.

Menurutnya, keputusan bijak Menteri yang bersikap patriotisme itu adalah tepat kerana kebanyakan syarikat tempatan terjejas teruk dengan kesan kemelesetan ekonomi akibat Covid-19.

Tambahnya, kebanyakan syarikat tempatan juga berpengalaman dalam pemasangan dan penyelenggaraan kabel dasar laut. E9

Lim Guan Eng ‘kecut’berdebat dengan Ka Siong

Leave a Reply