‘Arwah Pendiam, Kelakar’ – M Nasir
Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer yang juga sahabat Allahyarham A Ali, Datuk M Nasir menyifatkan pemergian bekas pemain gitar kumpulan Kembara itu adalah kehilangan besar buat industri.
“Pemergiannya satu kehilangan besar. Saya mengenali arwah sekitar tahun 1975 atau 1976, jauh sebelum kumpulan Kembara diwujudkan. Pada ketika itu, dia menjadi gitaris utama kumpulan Sweet Charity.
“Bila dia dah keluar dari Sweet Charity dan saya berpeluang menjadi artis rakaman, saya ajak dia untuk tubuhkan Kembara,” katanya kepada Harian Metro.
M Nasir berkata, Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan adalah sahabat yang memiliki pelbagai karakter.
“Ada masanya dia lebih gemar diam tapi pada masa sama, dia adalah orang yang sangat kelakar.
“Selepas beberapa tahun saya mengikutinya, saya tertarik dengan caranya yang ada identiti sendiri,” katanya.
Berkongsi mengenai berita pemergian Allahyarham, M Nasir berkata dia menerima khabar pilu itu pagi tadi dan akan menziarahi jenazah.
“Saya dapat tahu mengenai pemergian arwah pukul 9 pagi tadi. Saya akan meziarahi jenazah bagi memberi penghormatan terakhir.
“Kalau mengenai sakit, saya sendiri pun tak pasti sebab saya sudah lama juga tak menghubungi arwah. Apa saya tahu, dia tak ada sebarang penyakit,” katanya.
M Nasir dan Ali adalah antara anggota asal yang menubuhkan kumpulan Kembara pada 1980 di samping seorang lagi anggota asal iaitu S Sahlan.
Allahyarham A Ali meninggal di usia 71 tahun ketika sedang tidur dan perkara itu disahkan anaknya, Nur Huda Hamdan-HM
You must be logged in to post a comment.