Tiada asas ugut Ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021 – Mahathir
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada asas untuk Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan mana-mana pemimpin kerajaan mengugut ahli-ahli Parlimen meluluskan Belanjawan 2021 dengan alasan penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak akan menerima gaji, pencen dan elaun.
Dr Mahathir berkata berdasarkan pengalamannya sebagai perdana menteri pada 1999, dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“Semasa saya menjadi Perdana Menteri pada 1999, Belanjawan 2000 yang telah dibentangkan pada bulan Oktober tidak diteruskan perbahasannya kerana Parlimen telah dibubarkan pada November tahun itu untuk pilihan raya umum ke-10 diadakan.
“Setelah pilihan raya selesai, kerajaan dengan mandat baharu telah mendapat kelulusan Dewan Rakyat untuk peruntukan awal bagi perbelanjaan kerajaan untuk dua atau tiga bulan sementara menunggu Persidangan Khas Belanjawan diadakan pada Februari 2000.
“Peruntukan awal tersebut memastikan perbelanjaan pentadbiran tidak terganggu dan gaji, pencen serta elaun penjawat awam tidak terjejas.
“Ia juga termasuk pembayaran untuk peruntukan-peruntukan tambahan yang lain sama ada untuk kementerian-kementerian ataupun untuk memudahkan kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tegas Ahli Parlimen Langkawi itu, Tengku Zafrul dan pemimpin kerajaan lain amat tidak bertanggungjawab dengan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan bertujuan menekan ahli-ahli Parlimen lain untuk meluluskan Belanjawan 2021 walaupun ia merupakan “belanjawan yang banyak kekurangan dan keburukannya.”
“Kenyataan itu secara langsung bertujuan mengekang ahli-ahli Parlimen dari melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan Belanjawan itu adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan politik parti yang memerintah.
“Berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan dan pemimpin kerajaan yang lain, jika Belanjawan itu ditolak, rakyat dan penjawat awam akan menderita akibat dari sikap ahli-ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021.
“Jika itulah pendirian Menteri Kewangan dan pemimpin kerajaan, ia bermakna ahli-ahli Parlimen perlu memberi ‘blank cheque’ dan menyokong untuk kelulusan Belanjawan itu walaupun terdapat kecacatan yang nyata dalam Belanjawan tersebut,” katanya.
Beliau berharap Tengku Zafrul dan pemimpin kerajaan berhenti mengeluar kenyataan yang tidak berasas yang menakutkan rakyat semata-mata demi kelangsungan politik mereka.
Pada 14 November lalu, Tengku Zafrul berkata kerajaan tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi COVID-19 sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.
Pada 6 November lalu, Tengku Zafrul membentangkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM322.5 bilion. Awani
You must be logged in to post a comment.