Sukar satukan parti Melayu Islam - Prof. Ridhuan Tee · MYKMU.NET

Sukar satukan parti Melayu Islam – Prof. Ridhuan Tee

Share

UMNO, PPBM hanya boleh disatukan jika turunkan ego

SAYA tertarik dengan komentar Tan Sri Noh Omar bahawa UMNO bersedia berhadapan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Selangor, bertanding tiga penjuru, dengan PKR, dengan syarat PAS tidak masuk bertanding.

PAS memberi sokongan kepada UMNO mengikut persetujuan dalam Muafakat Nasional (MN), maka dengan itu, mudah untuk UMNO Barisan Nasional (BN) atau MN merampas Selangor.

Kata-kata Noh Omar ini begitu mendalam sifatnya dan perlu diberikan perhatian serius oleh PAS, kerana PAS berada dalam Perikatan Naisonal (PN) dan MN.

Sejak dari mula lagi kewujudan PN dan MN, saya amat berharap PAS dapat menjadi moderator kepada dua parti sama asalnya, kemudian bertelingkah sehingga kini, tanpa kesudahan.

Bila mahu reda, kita tidak tahu lagi.

Jika PAS tidak dapat menjadi moderator menyatukan PPBM (PN) dan UMNO (BN), saya syorkan pihak ketiga, iaitu badan bukan kerajaan (NGO), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengambil tempat menjadi moderator itu demi kepentingan umat Islam secara keseluruhan.

Wahai Melayu, bersatulah demi Islam dan anak cucu cicit kita

Jika tidak, pasti negara ini akan jatuh kepada tangan ultra kiasu sekali lagi. Ketika itu, sudah terlambat untuk mengambil kembali.

Ketika parti-parti politik Melayu lemah, ultra kiasu menyusun strategi untuk menjadi lebih kuat untuk merampas kembali

Sebab itu peranan PAS atau pihak ketiga (NGO) amat penting untuk menyelamatkan keadaan.

Harap tidak lagi wujud persepsi PAS mahu makan kiri kanan, dalam PN makan, dalam MN makan. Dua-dua makan. Ini akan menjadikan PPBM dan UMNO sakit hati nanti.

Saya sangat memahami kedudukan PAS seolah-olah tersepit, kiri kanan, diluah mati emak, ditelan mati bapak. Nak jaga kedua-dua agar semua berpuas hati. Ibarat kawin dua, isteri, kedua-dua isteri mesti perlu mendapat keadilan.

Justeru, dalam keadaan genting sebegini, semua pihak mesti berkorban.

PAS mesti bertindak menyatukan UMNO dan PPBM, bukan memecahkan.

Bertindak berpaksikan neraca keadilan. UMNO berhak bersuara, sebab UMNO parti besar.

PPBM yang berada di puncak kuasa, perlu berkorban ego, kerana PPBM berasal daripada UMNO. Jangan asyik merebut ghanimah.

Ya, saya tidak nafikan, puncak kuasa itu adalah lubuk duit.

Tetapi sedarlah, semua itu hanya sementara, tidak kekal lama. Jika UMNO bertindak balas, pasti akan jatuh jua.

UMNO, janganlah pula terlalu mendesak, walaupun parti besar. Terima hakikat, bahawa puncanya bermula daripada UMNO sehingga wujudnya PPBM.

UMNO dan PPBM sama sahaja, DNA yang sama, punca menyebabkan perpecahan semakin ketara, adalah kerana ego, dendam, yang tidak berkesudahan.

PPBM, terimalah hakikat bahawa UMNO telah sedar, ada yang telah bertaubat. UMNO mahu haknya kembali yang telah diambil sebelum ini. Perkara ini perlu disedari PPBM.

Parti-parti Melayu perlu berjiwa besar dan bina kekuatan untuk bersatu

UMNO juga kena terima hakikat, bahawa dalam UMNO sendiri berlaku perpecahan yang ketara. Ada yang mula pro kepada PN.

Begitu juga PPBM, apa yang dihasrat oleh Noh Omar itu, ada benarnya.

Tidak mustahil UMNO boleh kembali menawan Selangor, jika PPBM tidak terlalu ego untuk bertanding di sana, PPBM mungkin boleh fokus di negeri lain, hasil perbincangan dengan UMNO dan PAS.

Dalam hal ini, melihat senario semasa, sudah tentu MCA tidak boleh lagi diberikan laluan bertanding di kawasan majoriti Melayu. Biar MCA bergasak dengan DAP.

Pastinya MCA akan kalah kerana majoriti Cina mengundi DAP. Ketika itu baharu difikirkan soal kerusi senator.

Buat masa kini, dengan perpecahan dalam UMNO dan PPBM, jangan beri muka kepada MCA, kerana parti ultra kiasu itu tidak ada kekuatan, hanya menumpang ihsan Melayu.

Malangnya, bila menang kawasan majoriti Melayu, MCA menjadi lebih Cina daripada DAP.

Apapun, penyatuan kesemua parti-parti politik Melayu ini amat penting demi masa depan dan survival Melayu Islam serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Jika terus menerus berpecah, maka tunggulah akibatnya.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Leave a Reply