Ingat! Jangan ‘u-turn’ larangan jual minuman keras

Pasti ramai membantah namun NGO Islam teguh sokong usaha ini

BANGI, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Garis panduan yang menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai Oktober tahun depan disifatkan sebagai langkah yang amat dialu-alukan.

Bagaimanapun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Wilayah Persekutuan diingatkan untuk tidak membuat pusingan U sekiranya terdapat bantahan daripada pelbagai pihak berhubung langkah berkenaan.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya yakin akan berlaku bantahan yang dahsyat dari ramai pihak dengan pelbagai sentimen dan tohmahan, termasuk naratif Islamofobia.

“Menunggu sehingga Oktober 2021 adalah masa yang lama untuk mereka melobi dan membantah maka kita harap kerajaan tidak membuat ‘U-Turn’ kerana kami NGO-NGO Islam teguh menyokong usaha ini.

“Malah, ketika itu mungkin sudah selesai pilihan raya umum dan kerajaan baharu akan terbentuk. Kita juga harap kerajaan ketika itu tidak akan menarik balik polisi yang baik ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) memaklumkan pihaknya sebelum ini bertemu sendiri dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan menyampaikan hasrat rakyat agar penjualan arak secara terbuka seperti di kedai runcit dan serbaneka dihentikan.

DBKL larang jual minuman keras di kedai runcit & serbaneka mulai Oktober 2021

Jelasnya tindakan itu dilakukan demi kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan orang awam.

“Kami gembira dan lega pihak DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan tidak tunduk dengan desakan persatuan peniaga-peniaga arak beberapa bulan yang lalu yang membantah tindakan DBKL menggantung pemberian lesen baharu untuk menjual arak.

“Kita pernah menegur ahli-ahli politik muslim di pihak kerajaan sendiri yang cuba menormalisasikan naratif meminum arak adalah hak bukan Islam, maka mustahil untuk diharamkan penjualannya di kedai-kedai runcit atau serbaneka.

“Saya bersyukur bahawa Kementerian Wilayah tidak berfikir sedemikian tetapi sebaliknya mengambil tindakan yang lebih tegas sebegini,” katanya.

Meskipun menyambut baik keputusan berkenaan, Aminuddin mengingatkan bahawa satu lagi cabarannya ialah penguatkuasaannya kelak.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak berkuasa benar-benar menguatkuasakannya, bukan hanya cantik pada polisi sahaja tetapi banyak kepincangan terutamanya apabila berlaku sogokan dan sebagainya.

“Mungkin ini tanggungjawab kita bersama yang berada di lapangan untuk menjadi pemberi dan mendedahkan maklumat,” katanya.

DAP kumpul bantahan larang jual minuman keras, DBKL diseru jangan gentar!

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker