Kerajaan Perak harus batalkan pembangunan hutan di Lenggong

Share

KERAJAAN PERAK DIPOHON BATALKAN PEMBANGUNAN HUTAN DI KAWASAN SELUAS 400 HEKTAR BERHAMPIRAN MUKIM TEMELONG DI KOTA TAMPAN LENGGONG DAN MENUKARKANNYA KE KAWASAN LUAR DARIPADA LENGGONG.

Saya memahami keperluan pembangunan. Namun kepentingan memelihara dan menjaga hutan sebagai khazanah bernilai tinggi perlu diberikan keutamaan.

Khazanah ini mesti dipelihara. Pencemaran dan kemusnahan alam perlu dielakkan.

Lenggong kawasan parlimen yang saya wakili. Ia kaya dengan keindahan alam semulajadi yang menjadi tarikan pelbagai pihak dalam dan luar negara. Berpotensi besar disektor pelancongan apatah lagi ia Tapak Warisan Dunia UNESCO. Malah 2021 akan diktiraf Geopark Kebangsaan dan akan dicalonkan Lenggong Global Geopark 2023.

Justeru ianya lebih bernilai daripada pembalakan dan boleh menjana pendapatan kepada Negeri Perak. Saya fikir Kerajaan Perak perlu menghentikan sebarang aktiviti pembalakan di keseluruhan Daerah Kecil Lenggong. Adalah lebih besar keuntungannya jika sektor pelancongan dibangunkan dengan hutan sebagai eset utamanya.

Pembangunan ini difahamkan diluluskan pada 8 Januari 2019 sewaktu PH memerintah Perak. Saya mengetahui 3 buah kampong : Kampong Luat, Kampong Chepor dan Kampong Beng Lenggong akan menerima kesan jika ini dilakukan.

Pencemaran sungai yang menjadi kawasan tadahan air luarbandar penduduk akan terjejas, keindahan beberapa air terjun disini bakal tercemar, pelbagai projek termasuk puluhan kolam ternakan udang galah bernilai jutaan ringgit yang dibangunkan sebelum ini bakal terjejas. Ia akan menjejaskan kegiatan ekonomi penduduk.

Saya mengetahui ada pimpinan kampong yang menyokong. Dan ianya adalah daripada pimpinan kampong sewaktu Kerajaan PH memerintah. Realitinya penduduk kampong membantah. Saya tahu mereka membantah kerana bantahan itu, sampai kepada saya selaku Ahli Parlimen Lenggong.

Malah, saya ingin nyatakan disini. Kampong Luat Lenggong adalah kampong saya sendiri.

Kuasa meluluskan kawasan pembalakan adalah kuasa kerajaan negeri.

Namun kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pengarah Jabatan Perhutanan Perak. Mohon mengambil tindakan sepatutnya.

Saya dimarahi penduduk yang mengundi saya kerana pembalakan dikawasan ini. Ia tidak memberi kebaikan kepada mereka.

Saya ahli parlimen mereka. Dan wajib saya menjaga kepentingan mereka.

YB DATO DR SHAMSUL ANUAR NASARAH
Ahli Parlimen Lenggong

Leave a Reply