Ditanam Paras Leher
Ketika ditemui, sebahagian daripada tubuhnya daripada leher ke bawah berada di dalam tanah dan keadaan kakinya didapati bersilang.
Kepala mangsa pula tidak ditimbus dengan tanah dan terdapat kesan kecederaan pada mayat mangsa dipercayai akibat digigit binatang liar.
Pasukan penyiasat percaya mangsa meninggal dunia lebih daripada seminggu.
Media tempatan melaporkan mayat mangsa ditemui bersama rantai emas dan loket di dalam poket seluar serta stoking yang dipakai.
“Mayat mangsa ditemui di hutan antara bandar St Petersburg dan pinggir bandar Yuntolovo iaitu kira-kira 500 meter dari jalan raya utama yang menghubungkan kedua-dua kawasan berkenaan.
“Ia ditemui oleh seorang individu yang kebetulan berjalan-jalan di dalam hutan itu.
“Ada kemungkinan mangsa ditanam hidup-hidup dan tidak dapat membebaskan dirinya sebelum meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, seorang sumber memberitahu agensi berita Fontanka bahawa terdapat kemungkinan mangsa meninggal dunia akibat dicekik.
Namun, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.
Siasatan turut dijalankan bagi mengetahui punca kematian sama ada disebabkan perbuatan jenayah atau ada kaitan dengan upacara pemujaan.
Ini kerana beberapa sumber mendakwa keadaan mangsa itu seolah-olah amalan hukuman mati masyarakat kuno Rusia, terhadap wanita yang membunuh suami. -HM