NUTP wujudkan pusat amal agihkan peranti kepada pelajar

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) hari ini mewujudkan Pusat Amal NUTP (Sumbangan Peranti) untuk mengumpul peranti (gajet) bagi membantu murid mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah susulan pandemik COVID-19.

Setiausaha Agungnya Harry Tan Huat Hock berkata inisiatif itu penting kerana berdasarkan kajian, jumlah murid miskin tegar di Malaysia agak besar dan ketiadaan peranti boleh menjejaskan pembelajaran secara dalam talian murid daripada kumpulan ini.

Beliau berkata dalam kenyataan di sini, hari ini, dengan penubuhan pusat itu orang ramai yang berkemampuan mempunyai peluang untuk mendermakan peranti kepada murid-murid yang telah dikenal pasti yang tidak mampu memiliki peranti walaupun ia dibayar secara ansuran.

NUTP juga akan cuba untuk mendapatkan sumbangan peranti baharu atau terpakai yang tidak lagi digunakan daripada syarikat, pertubuhan bukan kerajaan selain daripada orang perseorangan dengan peranti terpakai mestilah yang boleh digunakan semasa pembelajaran secara dalam talian.

“Sebagai contoh, komputer riba mestilah mempunyai perisian sekurang-kurangnya Windows 7 ke atas dan jika tidak, peranti itu mesti boleh dikemas kini perisiannya, manakala peranti daripada jenis telefon pintar sebaiknya boleh memuat naik aplikasi seperti Zoom Meeting, Google Clasroom atau perisian lain yang boleh membantu pembelajaran dalam talian,” katanya.

Tan berkata sebagai langkah permulaan, NUTP akan menyerahkan sumbangan peranti kepada 10 murid Orang Asli di Negeri Sembilan.

Beliau turut menyeru orang ramai bersama-sama NUTP dalam membantu mengumpulkan peranti untuk diagihkan kepada murid yang tidak berkemampuan.
BERNAMA

Dengarlah juga suara hati guru Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker