Pengusaha kilang kopi rugi RM88,379 lepas beri TAC

Seorang lelaki warga emas yang merupakan pengusaha kilang kopi mengalami kerugian sebanyak RM88,379.94 akibat diperdaya seorang wanita semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar memberitahu, mangsa berusia 63 tahun dan menetap di Yan dekat sini menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Nurhidayah.

“Wanita itu memaklumkan bahawa dia tersilap mendaftar nombor telefon mangsa pada akaun Go Payz miliknya.

“Suspek kemudian meminta mangsa memaklumkan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterima bagi tujuan mengemas kini akaun Go Payz tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, warga emas terbabit seterusnya mendedahkan semua TAC yang diterima kepada wanita berkenaan.

“Kemudian, pada hari sama, pihak bank telah menghubungi mangsa bertanyakan mengapa berlaku banyak transaksi pindahan wang daripada akaun miliknya ke dalam akaun pihak ketiga yang tidak dikenali.

“Mangsa berasa sangsi dan terus membuat semakan dengan pihak bank sebelum mendapati berlaku 33 kali transaksi pindahan wang daripada akaunnya melibatkan kerugian sebanyak RM88,379.94,” ujarnya.

Elias berkata, mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis di Balai Polis Yan pada hari yang sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai agar jangan menjawab panggilan serta tidak mendedahkan sebarang maklumat kepada orang yang tidak dikenali.

“Semakan juga boleh dibuat dengan pihak bank bagi pengesahan,” tambahnya.

Orang awam juga boleh menyemak melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ dan http://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/ untuk kesahihan maklumat serta modus operandi terkini jenayah komersial. – K! ONLINE

9 Resepi Kopi WFH Unik Dengan Menggunakan Instant Coffee Sahaja. Perfect Untuk Work From Home ! (WFH)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker