DAP gesa semua parti beri Umno menang tanpa bertanding di Gerik · MYKMU.NET

DAP gesa semua parti beri Umno menang tanpa bertanding di Gerik

Share

Susulan Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman meninggal dunia, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa semua parti politik supaya mengelak meletak calon dan memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada Umno.

Tambahnya, ini bagi mengekang risiko penularan wabak Covid-19 semasa pilihan raya kecil.

“Pemergian Hasbullah mengundang satu lagi pilihan raya kecil dalam 60 hari, yang boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan awam ketika Malaysia berada di tengah-tengah lonjakan tinggi jangkitan Covid-19.

“Sebagai pengiktirafan khidmat beliau dan bahawa Malaysia berada dalam gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang teruk, seharusnya tidak ada pertandingan dalam pilihan raya kecil oleh parti-parti untuk melawan Umno,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam dilaporkan, Hasbullah (gambar, bawah) telah menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat serangan jantung petang semalam.

Sementara itu, Lim yang juga merupakan anggota parlimen Bagan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Hasbullah.

“DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ahli parlimen Umno Gerik, Hasbullah Osman yang meninggal dunia semalam akibat serangan jantung.

“Walaupun berada di sebelah pihak berlawanan, Hasbullah telah berkhidmat lebih daripada dua penggal sebagai ahli parlimen dan kepada rakyat di kawasannya,” katanya lagi.

Pada 2 oktober lalu, kerusi Batu Sapi kosong setelah kematian Ahli Parlimennya, Liew Vui Keong dari Warisan pada 2 Oktober.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 November untuk pencalonan PRK Batu Sapi, 1 Disember untuk pengundian awal dan 5 Disember untuk pemilihan untuk pilihan raya kecil.

Terdapat pihak berkata mereka bersedia untuk tidak bertanding tetapi Bersatu mengatakan minggu lalu bahawa mereka masih belum memutuskan mengenai perkara itu. Mk

Pemimpin Umno menyempurnakan solat jenazah Allahyarham Hasbullah

Leave a Reply