Bila Adun Amanah masuk PKR · MYKMU.NET

Bila Adun Amanah masuk PKR

Share

oleh Mohsin Abdullah

Benar ia bukanlah sesuatu yang besar dan menggemparkan berbanding apa yang kita saksikan sebelum ini dalam arena politik tanah air. Seperti percubaan “political coup” di Sabah yang menyebabkan pilihan raya negeri diadakan. Apatah lagi jika dibandingkan dengan Langkah Sheraton.

Pun begitu ia tetap mengundang pelbagai persoalan dan andaian.

Saya bercakap mengenai langkah Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, bertindak keluar Amanah dan menyertai PKR.

Oleh kerana kedua-dua parti itu komponen Pakatan Harapan, tentulah seteru mereka bersorak gembira dan akan menggunakan isu ini untuk menyerang demi kepentingan politik mereka.

Namun kata penganalis politik itu adalah asam garam dan sepak terajang politik yang Amanah dan juga PKR sudah jangkakan dan sesuatu yang mereka boleh (dan mesti) hadapi.

Ketika artikel ini ditulis kepimpinan Amanah yang saya hubungi tidak mahu mengulas. PKR pula belum mengeluarkan rekasi.

Namun seperti yang dikatakan tadi, timbul persoalan. Mengapa Fakhrulrazi tinggalkan Amanah? Jawapannya terpulang kepada siapa soalan itu diajukan. Tetapi kesimpulannya Amanah dan Fakhrulrazi mempunyai sebab dan alasan masing masing yang saya rasa tidak perlu dihuraikan di sini.

Begitu juga mengapa Fakhrulrazi pilih PKR. Tentu beliau ada sebab-sebab tertentu.

Lalu persoalan yang lebih utama ialah mengapa atau bagaimana PKR boleh menerima beliau.

Persoalan ini bukan bersabit kredibiliti atau kebolehan. Ia timbul kerana semua parti dalam Pakatan Harapan sebelum ini bersetuju untuk tidak mengundang atau menerima sesama ahli. Maksudnya ahli sesebuah parti komponen Pakatan Harapan tidak boleh menyertai sesebuah parti lain yang juga komponen Pakatan Harapan. Persefahaman untuk tidak menarik ahli daripada parti kawan ini antara lain untuk menjaga hubungan baik yang terjalin dalam kalangan komponen.

Ada pemerhati politik berpendapat jika dilihat daripada perspektif PH adalah lebih baik Fakhrulrazi menyertai PKR daripada meyertai pihak lawan – Umno, PPBM, atau PAS (walaupun kemungkinan ini berlaku amat tipis kerana beliau pernah menjadi ahli PAS).

Tindakan Fakhrulrazi, walaupun tidak mengubah keadaan atau kedudukan di Dewan Negeri Selangor, mengukuhkan sedikit kedudukan PKR yang sudah sedia kukuh disamping memberi sedikit kesan terhadap Amanah di Selangor. Bagi PH secara keseluruhan semuanya “status quo”.

Berbalik persoalan tadi berhubung persetujuan untuk tidak menerima ahli sesama komponen. Adakah ia masih terpakai?

“Secara prinsip memang begitu. Tetapi PKR tak pancing Fakhrulrazi. Dia tinggalkan Amanah kerana tidak puas hati dengan pengurusan parti. Keluar parti adalah hak seseorang Adun untuk sertai mana-mana parti pun,” kata penulis politik veteran, Mohd Sayuti Omar.

Satu lagi persoalan. Adakah dengan menerima Fakhrulrazi menyertai PKR, hubungan baik antara PKR dan Amanah terjejas? Mungkinkah Amanah akan “terasa hati”? Kita tahu Amanah menyokong kuat Presiden PKR, Anwar Ibrahim. Presiden Amanah, Mohamad Sabu, mengenali Anwar sejak 1970-an dan bersama beliau bergerak aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia atau ABIM. Mereka akrab walaupun pernah bertembung ketika Awnar dalam Umno dan Mohamad dalam PAS.

Kini ada pihak melihat Mohamad lebih cenderung terhadap Dr Mahathir Mohamad.

Seorang pemimpin kanan Amnah beritahu saya soal berkecil hati atau hubungan renggang tidak timbul. “Kami sentiasa berkomunikasi dengan pemimpin PKR,” kata beliau.

Bagi Sayuti, langkah Adun Meru menyertai PKR ada kesan negatif “tetapi kerana kedua parti berada dalam PH ia tidak perlu dijadikan isu. PH tidak hilang angka atau undi.”

Spekulasi Fakhrulrazi meninggalkan Amanah banyak diperkatakan beberapa hari lalu. Sumber Amanah dipetik media tidak mahu mengesahkan khabar angin dengan menyatakan Fakhrulrazi “belum” keluar parti secara rasmi.

Bagaimanapun sehari kemudian, Setiausaha Amanah Selangor, Kamarul Hisham Yeop Hashim menerusi kenyataan mengesahkan Adun Meru itu keluar parti dan menyertai PKR.

Oleh itu, kata beliau, semua jawatan parti yang disandang Fakhrulrazi terbatal serta-merta dan “Amanah Selangor mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau selama ini”.

Adakah isu ini berkesudahan di situ?

Kesimpulan terbaik dibuat Sayuti. Kata beliau, “Bagaimanpun seelok-eloknya ia diselesaikan secara baik untuk memberi gambaran PH tidak menghadapi apa-apa masalah termasuk krisis kepercayaan sesama sendiri.”

Sebagai penutup tirai kali ini saya perlu menyatakan ada pula spekulasi 2 lagi Adun Amanah akan keluar parti untuk menyertai PKR. Kedua-duanya bagaimanapun nafi akan mengikut jejak langkah Fakhrulrazi.

Dan FMT melaporkan Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman, menyertai PKR Ogos lalu selepas dipecat oleh Amanah sebulan sebelumnya kerana dikatakan melanggar disiplin parti.

Apa pun saya kira kesimpulan tadi yang dibuat Sayuti harus diberi perhatian. Oleh Amanah dan PKR. Bahkan Pakatan Harapan sendiri.

SAH: Adun Amanah Lompat Parti

Leave a Reply