Pasangan kekasih penyamun ala Bonnie and Clyde

Petaling Jaya: Pasangan kekasih antara tiga individu yang ditahan polis semalam dipercayai terbabit dengan kegiatan samun di sekitar daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan berkaitan kes samun membabitkan seorang pengurus bank berusia 37 tahun di tempat letak kereta Jalan 1/12 Old Town, di sini, Khamis lalu.

“Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, wanita itu dalam perjalanan balik ke rumahnya sebelum dihampiri seorang lelaki tidak dikenali yang kemudian menarik beg tangannya.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa kehilangan barangan peribadi serta sejumlah wang tunai,” katanya.

Ku Mashariman berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan 4/46 jam 11 pagi semalam dan menahan pasangan kekasih berusia 25 tahun.

“Dalam serbuan itu, kami merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek bagi melakukan kegiatan samun selain pakaian, jam tangan, kasut berjenama, dua beg, dua topi keledar serta satu dompet.

“Siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku terbabit dengan beberapa kes samun di sekitar Old Town dan dia mengaku menjual sebuah telefon bimbit hasil kegiatan itu kepada seorang lelaki tempatan di hadapan sebuah bangunan di Kuala Lumpur pada harga RM250,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang membeli telefon bimbit jenama Iphone 8 Plus dijual oleh suspek di perkarangan sebuah bangunan di Kuala jam 3.55 petang, hari sama.

“Semakan mendapati suspek lelaki pertama mempunyai rekod dikehendaki bersabit Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek pertama dan kedua direman selama lima hari, manakala suspek ketiga direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya. HM

Pasangan kekasih dicekup selepas samun warga emas

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker