Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa berusia 63 tahun itu dikatakan telah meletakkan kenderaannya di kawasan parkir di lokasi kejadian.

Mangsa kemudiannya keluar dari keretanya sebelum dia dihampiri oleh sebuah motosikal yang dinaiki oleh seorang lelaki dan wanita tempatan.


Suspek lelaki tersebut kemudian menarik beg silang mangsa sambil mengacukan parang terhadapnya sebelum mangsa yang ketakutan telah melepaskan tangannya dari memegang beg tersebut.

Berikutan itu, beg tersebut terus dilarikan oleh kedua-dua suspek berkenaan sebelum mereka terserempak dengan kereta peronda polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfield, Superitenden Arifai Tarawe berkata, mereka yang dilihat dalam keadaan mencurigakan kemudiannya ditahan bagaimanapun seorang daripadanya berjaya melarikan diri.


“Kita telah tahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan hasil soal siasat dijalankan kita kemudiannya menahan teman wanita suspek berusia 28 tahun di jalan Tun Sambanthan di sini.

“Siasatan awal, suspek lelaki mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala wanita itu tidak mempunyai rekod dan hasil ujian air kencing lelaki itu juga positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Arifai, motosikal yang dinaiki suspek juga menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Puchong beberapa bulan lalu.Mereka kini direman selama enam hari hingga 24 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.


“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Lim We Tah di talian 012-9119246 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE