20 pegawai, anggota polis disyaki terlibat sindiket Macau scam, judi dalam talian, ditukar
Pegawai kanan polis adalah antara individu yang diambil tindakan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan “Macau scam”.
Kes itu turut menyaksikan rombakan besar-besaran dalam pasukan polis, melibatkan lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanan pasukan keselamatan itu ditukarkan.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika mengesahkan perkara itu hari ini berkata, langkah menukarkan anggota dan pegawai terlibat adalah tindakan pertama terhadap mereka yang bersekongkol dengan penjenayah.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi pegawai polis yang dikenakan tindakan selepas ini berhubung perkara itu.
“Sudah diambil tindakan. Tindakan pertama ialah menukarkan mereka dari tempat sensitif. Tindakan ke-2 sekiranya ada bukti lain kita akan ambil tindakan selanjutnya.
“Tidak silap saya ada 20 (orang). Akan keluar lagi (pertukaran). Tak ada apa yang sensasinya jika perkara seperti ini. Kalau berlaku, kita siasat. Bila ada faktanya, kita ambillah tindakan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas mengunjungi bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi di sini.
Abdul Hamid sebelum ini dilaporkan berkata, semua pegawai dan anggota yang bakal ditempatkan di Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan disaring oleh jawatankuasa khas yang ditubuh di Bukit Aman bagi memastikan mereka ditempatkan di bahagian “panas” itu mempunyai integriti yang tinggi.
Kes membabitkan pegawai kanan polis terbabit dikesan susulan penahanan beberapa selebriti dan usahawan kosmetik oleh SPRM bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mengubah wang haram daripada sindiket Macau scam dan pengendali judi dalam talian. Bernama
Judi online: Belajar dari pakcik sejak usia 14 tahun, tak pernah ditangkap polis
You must be logged in to post a comment.