Wanita maut jatuh gaung ketika daki bukit di Johor

Share

BATU PAHAT: Seorang wanita maut selepas tergelincir ke dalam gaung sedalam 80 meter ketika sedang mendaki Bukit Banang, di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian menimpa Aina Nabila Yusof, 20, pada 11.34 pagi tadi.

“Seramai 16 anggota bersama sebuah jentera dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram serta Batu Pahat bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan berhubung seorang individu jatuh ke dalam gaung.

“Aina Nabila difahamkan mendaki bukit itu bersama seorang rakan. Difahamkan, kejadian itu turut dilihat sekumpulan pendaki lain dan kemudian menghubungi bomba,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Fauzi berkata pihak bomba menggunakan sistem tali untuk membawa mangsa keluar dan telah disahkan meninggal dunia sejurus berjaya dibawa keluar pada pukul 3.46 petang oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi terbabit.

Mayat wanita itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi menyelamat oleh bomba kemudian tamat sepenuhnya pada kira-kira 5.20 petang, katanya. BERNAMA

Tukang rumah patah kaki, motosikal terjunam dalam gaung

Leave a Reply