Gadis penebar roti canai ‘berdiploma’
Kuala Lumpur: Biarpun memiliki lulusan Diploma Vokasional Pengurusan Perniagaan, Nur Amni Aqilah tidak pernah malu untuk menjadi penebar roti canai di kedai makan milik bapanya, Ruzaini Darus, 54 di Pokok Sena, Kedah.
Nur Amni, 23, berkata, pekerjaan itu dilakukan untuk membantu bapanya, selain usahanya mencari rezeki selepas enam kali gagal dalam sesi temu duga kerja dihadirinya.
Menurut Nur Amni, kemahiran menebar roti canai itu dipelajari sendiri dan bukan mendapat tunjuk ajar daripada bapanya.
“Pertama kali saya menebar roti canai pada 2015 ketika cuti semester. Kebetulan, ayah terpaksa berehat selepas terjatuh di longkang jadi saya menggantikannya.
“Ikutkan, saya tidak berlatih menebar menggunakan tuala sebaliknya terus tebar dengan ‘doh’ roti canai ketika cubaan kali pertama.
“Saya berjaya lakukannya mungkin kerana saya sering melihat ayah menebar roti canai di kedai ,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, sekalipun memasang impian bekerja di sektor kerajaan, dia akur belum ada rezeki untuk diterima bekerja.
Jadi, buat masa ini, fokusnya adalah untuk membantu bapanya di kedai yang sudah dibuka sejak 30 tahun lalu.
“Saya tamat pengajian di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Kedah pada Ogos 2017 dan pernah dipanggil menghadiri pelbagai sesi temu duga bagi mengisi kekosongan jawatan di agensi kerajaan.
“Namun, kesemuanya gagal dan kali terakhir saya ke sesi temu duga adalah pada 2018.
“Tipulah kalau saya katakan tidak sedih tetapi tidak sampai tahap terlalu kecewa kerana ada hikmah daripada kegagalan itu iaitu peluang membantu ayah di kedai,” katanya.
Menurut Nur Amni, kedai bapanya dibuka dari 7 pagi hingga 2 petang dan dalam sehari, dia boleh menebar sehingga 200 doh roti canai.
Meskipun tugas itu sudah menjadi rutin hariannya, Nur Amni mengakui kerja menebar roti canai tidak mudah kerana memerlukan kekuatan tangan.
“Seronok tetapi tidak dinafikan rasa letih juga kerana perlu berdiri lama dan gunakan tenaga tangan.
“Namun, saya tidak berseorangan kerana ada kalanya dibantu adik, Muhanmad Muiz yang juga pandai menebar.
“Penduduk di sini tidak hairan melihat saya melakukan pekerjaan ini kerana sudah biasa tetapi orang luar mungkin agak pelik mungkin kerana jarang melihat wanita menjadi penebar roti canai.
“Saya sendiri pernah lihat wanita menjadi penebar roti canai tetapi kebanyakannya yang sudah berumur, “katanya.
Menurut Nur Amni, sejak Jun lalu, dia sudah membuka syarikat sendiri dan mengeluarkan produk iaitu roti canai serta murtabak sejuk beku.
Bagi menambah pengetahuan, Nur Amni pernah menghadiri kursus di Kulim, Kedah bagi mempelajari cara mempelbagaikan pembuatan roti canai.
“Saya buka syarikat itu sebagai satu usaha untuk memajukan lagi diri tanpa terikat dengan menjadi penebar roti canai saja.
“Peluang yang ada akan direbut dan tidak akan disia-siakan kerana belum cuba, belum tahu.
“Mungkin ramai rakan seusia saya sudah berjaya di luar sana dengan kerjaya dan gaji yang stabil tetapi saya yakin boleh berjaya seperti mereka cuma perlu melipatgandakan usaha,” katanya. HM
Penebar roti canai hidap jangkitan kuman tanah selepas berkebun
You must be logged in to post a comment.