Penebar roti canai hidap jangkitan kuman tanah selepas berkebun

JENGKA – Dulu cergas menebar roti canai, kini berkerusi roda sejak Mei lalu.

Tazulfakri Anuar, 49, dari Felda Jengka 23 kini tidak mampu lagi mencari sumber pendapatan buat keluarganya.

Beliau disahkan menghidap penyakit berkaitan komplikasi jangkitan kuman tanah atau melioidosis yang menyerang dan melemahkan sistem imun termasuk hati.

“Saya tidak pasti bagaimana ia bermula. Mungkin berlaku ketika saya berkebun di ladang mertua di Felda Jengka 23 pada September tahun lepas.

“Selepas berkebun saya lambat mandi dan beberapa jam kemudian saya demam, sakit kepala, muntah dan lemah seluruh badan.

“Saya mengalami demam berpanjangan yang tidak sembuh-sembuh dan terpaksa dihantar ke Hospital Jengka dan seterusnya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk didiagnosis sebelum doktor pakar mengesahkan ia berpunca daripada bakteria kuman tanah,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tazulfakri kini bergantung dengan kerusi roda untuk bergerak sejak Mei lalu akibat komplikasi jangkitan kuman tanah.
Sejak itu, bapa kepada empat cahaya mata itu menjadi ‘penghuni’ di kedua-dua hospital terbabit secara bergilir-gilir dan kini ke klinik berhampiran setiap sebulan sekali untuk mendapatkan rawatan.

“Sejak Mei lalu saya juga hilang selera makan selama tiga bulan hingga berat badan menyusut daripada 60 kilogram (kg) kepada 45 kg.

“Saya terpaksa guna kerusi roda untuk bergerak kerana jika berdiri walau hanya lima minit, saya akan tumbang dan badan serta tangan menjadi kebas.

“Keadaan kesihatan yang semakin merosot menyebabkan saya tidak mampu untuk bekerja,” katanya.

Katanya, dia kini terpaksa bergantung dengan kudrat isterinya, Rodziah Md Salleh, 43, untuk mencari rezeki dengan berniaga kecil-kecilan di gerai bagi menampung perbelanjaan keluarga dan anak-anak berusia 8 hingga 20 tahun yang masih belajar.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini, boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank (156020469899) atas nama Tazulfakri bin Anuar atau menghubungi talian 017-9136877. Sinar

Teringin makan ‘roti canai ular’? Ayuh ke Kota Bharu…

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker